Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Kelantan, Hanafi Mamat mendakwa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah bertindak menggantung dua Adun Umno selama enam bulan, bagi menghalang mereka daripada membangkit dan membincangkan isu-isu yang mendedahkan kelemahan kerajaan PAS.
Adun Pangkalan Pasir itu berkata, speaker bertindak demikian kerana mahu menutup suara pembangkang di DUN Kelantan daripada membincangkan isu-isu yang boleh menggugat PAS dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
"Berdasarkan perkembangan semasa, PAS kini seboleh-bolehnya mahu menutup kelemahan-kelemahan mereka daripada pengetahuan orang ramai.
"Mereka sangat bimbang dengan pendedahan secara berterusan mengenai penyelewengan dalam pengurusan air dan balak di Kelantan," katanya.
Hanafi yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Pasir Mas berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Wan Abdul Rahim menggantung dua Adun Umno selama enam bulan pada hari terakhir sidang DUN Kelantan Selasa lalu.
Kedua-dua mereka ialah Adun Paloh, Datuk Norzula Mat Diah dan Adun Bukit Bunga, Adham Kechik masing-masing selama enam bulan atas alasan enggan meminta maaf kerana membuat kenyataan di luar dewan.
Dalam persidangan DUN Kelantan kali ini juga berlaku pertengkaran antara Nozula dengan Adun PAS kawasan Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim .
Projek dibatal
Menurut laporan Harakahdaily,net, insiden bermula apabila Datuk Mohd Zain Ismail (BN-Bukit Tuku) tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkiflli Mamat terhadap soalan yang dikemukakannya mengenai perkembangan projek Afta City Rantau Panjang.
Menurut Zulkifli, projek tersebut telah dibatalkan.
"Permasalahan sekarang ialah kerajaan ingin memperbetulkan kenyataan bahawa ada exco yang hadir dalam perasmian tersebut. Kita ingin memperbetulkan kenyataan yang menyebabkan tuduhan daripada pihak YB (BN).
"Kita tidak mahu YB yang dipilih, kutip bawa cerita tepi jalan dan bawa naik ke dewan. Adakah hendak perbetulkan ini salah, "kata Zulkifli yang diikuti ketukan di meja oleh beberapa Adun.
Kata-kata Zulkifli itu menimbulkan kemarahan Nozula yang bangun dan menyifatkan jawapan Zulkifli itu sebagai 'tidak cerdik' dan menganggap pihak kerajaan negeri menuduh pihak pembangkang bodoh, dan tidak mempedulikan teguran Speaker supaya beliau duduk.
Keadaan menjadi semakin panas apabila Nozula mengambil serius kata-kata usikan daripada Zaki yang menimbulkan kemarahannya.
"Bagi peluang aku kecek lepas ni,"kata Nozula dengan nada yang keras.
Adun diserang
Kata-kata Zaki supaya Adun Paloh itu meminta maaf kepada dewan dan menyatakan beliau bersikap kurang ajar menyebabkan Nozula bertindak dil uar jangkaan.
"Mu yang kurang ajar," katanya sambil bertindak menyerang Zaki.
Tindakan Nozula itu cuba dihalang oleh beberapa Adun termasuk Saufi Deraman (BN-Galas) dan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS- Chetok) yang berada bersebelahan Zaki.
Walaupun dihalang Nozula sempat melepaskan tendangan terhadap Zaki. Suasana dewan menjadi sedikit kecoh dan terpaksa ditenangkan oleh Speaker.
Speakar kemudiannya mengarahkan Nozula meminta maaf kepada dewan atas perbuatannya itu, tetapi beliau enggan berbuat demikian dan bertindak keluar dari dewan.
Semasa di luar dewan, Nozula dan Adham telah membuat kenyataan mempertikaikan arahan Speaker mengarahkan mereka meminta maaf.
Kira-kira 30 minit kemudian, Nozula dan Adham masuk semula ke dalam dewan dan speaker sekali lagi mengarahkan mereka supaya meminta maaf tetapi kedua-dua enggan berbuat demikian.
Usul penggantungan
Ekoran itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan usul untuk penggantung Nozula dan Adham daripada menghadiri sidang dewan.
Menurut Takiyuddin, kenyataan Nozula dan Adham ketika di luar dewan itu merupakan penghinaan kepada Speaker dan DUN.
Usul tersebut dibahaskan oleh Drs Zainuddin Awang Hamat, Adun PAS kawasan Limbongan dan mendapat sokongan majoriti. Ekoran itu speaker mengambil keputusan menggantung kedua-duanya selama enam bulan.
Speaker Wan Abdul Rahim membuat keputusan penggantungan tersebut berdasarkan peruntukan yang telah dilaksanakan pada peringkat Parlimen Malaysia selepas kedua-duanya enggan meminta maaf kerana membuat kenyataan di luar dewan.
Sementara itu, Hanafi menambah, rakyat Kelantan sedang memerhatikan tindak-tanduk kerajaan negeri, menyebabkan mereka seperti cacing yang kepanasan.
"Oleh kerana bahang pilihanraya semakin hampir, maka PAS tidak mahu kelemahan dan kerakusan mereka didedahkan kepada orang ramai," katanya.
Menurut Hanafi lagi, kedua-dua Adun BN itu digantung kerana cuba membangkitkan masalah-masalah rakyat untuk pengetahuan dan dibincang dalam DUN.
'Takut pecah tembelang'
Katanya, selama dua hari berturut-turut Speaker tidak membenarkan Norzula dan Adham membawa usul mengenai masalah penduduk setempat dibincangkan di dalam dewan.
"Walaupun mereka merayu, Wan Abdul Rahim tetap menolak dan akhir sekali menggunakan kuasanya untuk menghalau keluar kedua-dua Adun berkenaan," katanya.
Sementara itu, Adun Umno dari Gual Ipoh, Datuk Hashim Safin berkata, kerajaan negeri bimbang tembelang mereka pecah dan diketahui umum.
Katanya, rakyat mula sedar bahawa kerajaan negeri hanya tahu bercakap tetapi tidak mempedulikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat terutama di kampung-kampung.
Hashim berkata, memang sudah diketahui umum bahawa Adun PAS sering bertindak bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang dilaung-laungkan oleh parti itu.
"Mereka hanya tahu bercakap mengenai Islam tetapi sikap dan tingkahlaku tidak selari dengan apa yang mereka perkatakan," katanya lagi.
|