PAS menganggap sebahagian tuntutan dan tuduhan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf ) adalah melampau dan mengelirukan, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Sehubungan itu, parti pembangkang tersebut menuntut agar kerajaan segera menubuhkan badan bebas untuk menyiasatnya.

Abdul Hadi merujuk kepada dakwaan Hindraf dalam memorandumnya yang menuduh berlakunya "penghapusan kaum" serta dakwaan berhubung perobohan kuil Hindu di negara ini.

Pada 25 November lalu, Hindraf telah menganjurkan perhimpunan rakyat di ibunegara untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Suruhanjaya Tinggi British.

Ia bagi menyokong saman yang difailkan oleh Hindraf terhadap kerajaan British yang menuntut gantirugi AS4 trilion kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh pada 1980-an dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata serta pancutan air kimia untuk meleraikan perhimpunan tersebut dan menghalang mereka daripada menghampiri bangunan suruhanjaya tersebut.

Namun begitu, kata Hadi lagi, PAS tetap berpendirian bahawa semua pihak seharusnya diberikan hak dan kebebasan untuk berhimpun dan bersuara sebagaimana yang dijamin dan diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mainan media

"Sesungguhnya kejadian diskriminasi kaum bukan hanya berlaku terhadap masyarakat India, malah turut berlaku di kalangan masyarakat Cina dan Melayu, khasnya yang menyokong parti-parti pembangkang," katanya dalam satu kenyataan..

"Malahan terbukti pimpinan dan ahli-ahli MIC tertentu memperolehi habuan yang lebih baik dari bangsa Melayu sendiri yang menyokong parti-parti pembangkang," katanya.

Di samping itu, katanya, PAS mempertahankan perlunya perpaduan kaum terus dikekalkan dalam negara ini.

"Sebarang isu yang dicetuskan untuk menghasut sentimen mana-mana kaum sama ada India, Melayu ataupun Cina hendaklah ditolak," katanya.

Hadi juga menyeru rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan mainan pihak media yang didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, tujuan mereka adalah cuba untuk mencetuskan ketegangan kaum bagi tujuan meraih undi rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang.

"Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan pimpinan parti-parti pembangkang sebagaimana semasa "Operasi Lalang" tahun 1987 dahulu," katanya.