PM: Indeks jenayah membimbangkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui indeks jenayah adalah tinggi dan membimbang dan sekaligus mengarahkan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah segera untuk menanganinya.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, beliau tidak senang hati dengan indek jenayah yang semakin tinggi terutama di beberapa tempat tertentu.

"Johor Bahru, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang telah mengalami peningkatan jenayah pada tahap membimbangkan," katanya.

Malah, kata perdana menteri, ada orang yang takut dan bimbang untuk keluar membeli barangan keperluan pada waktu malam.

Perdana menteri menegaskan beliau memandang berat perkara itu kerana peningkatan mendadak kadar jenayah di Malaysia boleh menakutkan para pelabur untuk datang melabur ke negara ini.

"Kita perlu mengambil tindakan segara untuk menangani peningkatan kegiatan jenayah," tambahnya.

Statistik yang diedarkan kepada media di sidang akhbar tersebut menunjukkan kes jenayah meningkatkan daripada 209,388 pada tahun 2006 kepada 224,298 pada 2007.

Daripada jumlah tersebut, jenayah kekerasan meningkat dari 44,016 kes pada 2006 kepada 49,897 kes pada 2007 (meningkat 5,881 kes atau 13.36 peratus); jenayah hartabenda meningkat dari 165,372 pada 2006 kepada 174,401 pada 2007 (meningkat 9,029 atau 5.46 peratus); dan jenayah

Perpecahan jenayah kekerasan menunjukkan kes rogol meningkat hampir 30 peratus daripada 2,454 kes pada 2006 kepada 3,177 kes tahun lalu - meningkat 723 kes atau 29.46 peratus.

Kes samun berkawan tanpa senjatapi meningkat 4,344 atau 159.53 peratus sepanjang tahun lalu, berbanding dalam tempoh yang sama tahun 2006. Sebanyak 7,067 kes tersebut dilaporkan pada 2007 berbanding 2,723 pada 2006.

Kes ugutan jenayah pula meningkat dari 6,699 (2006) kepada 8,119 (2007) - meningkat 1,420 atau 21.20 peratus.

Kes mencederakan (seksyen 324/326) meningkat dari 5,843 (2006) kepada 6,806 (2007) - meningkat 963 atau 16.48 peratus. Kes samun berkawan bersenjatapi meningkat dari 67 (2006) kepada 77 (2007) - meningkat 10 kes atau 14.93 peratus.

Kes merusuh pula meningkat dari 2,291 (2006) kepada 2,608 (2007) - meningkat 317 kes atau 13.84 peratus. Kes mencabul kehormatan meningkat dari 2,064 (2006) kepada 2,320 (2007) - meningkat 256 atau 12.40 peratus.

Kes pemerasan

Kes pemerasan pula meningkat dari 1,554 (2006) kepada 1,692 (2007) - meningkat 138 kes atau 8.88 peratus. Bagaimanapun, kes bunuh, kes samun tanpa bersenjatapi dan samun bersenjata api telah menurun.

Kes bunuh menurun dari 606 (2006) kepada 588 (2007) - turun 18 kes atau 2.97 peratus. Kes samun tanpa senjatapi turun dari 19,467 (2006) kepada 17,241 (2007) - turun 2,226 atau 11.43 peratus. Manakala kes semun bersenjatapi turun dari 248 (2006) kepada 202 (2007) - turun 46 kes atau 18.55 peratus.

Abdullah berkata, peningkatan indeks jenayah itu kerana PDRM telah menambah lima kategori baru, termasuk rusuhan, pemerasan dan menjatuhkan maruah, menjadikan 19 kategori semuanya.

"Saya mahu pasukan polis mengambil langkah dengan segera untuk membasmi jenayah di dalam negara ini" katanya dalam sidang media di Bukit Aman di ibunegara hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri serta ketua pengarang akhbar dan televisyen tempatan diberi taklimat mengenai situasi jenayah oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Ibupejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di ibunegara hari ini.

Hadir sama dalam taklimat tersebut ialah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Yackop Mohamad.

Abdullah berkata, bagi mengatasi jenayah, polis mengambil 60,000 anggota baru mulai selepas belanjawan lalu sehingga 2011.

Bina balai polis

"Kita juga berharap lebih ramai orang yang terbaik akan menyertai pasukan polis," katanya sambil menambah kenaikan pangkat anggota polis dipermudahkan selain pembinaan lebih banyak balai polis di kawasan bandar.

Menurutnya, polis juga akan mengambil bekas kakitangannya untuk berkhidmat secara kontrak dengan pasukan itu berdasarkan pengalaman dan kemahiran masing-masing.

Perdana Menteri berkata, ini membolehkan polis menempatkan lebih ramai anggota di balai bagi memudahkan bertindak apabila jenayah berlaku.

Abdullah berkata, pemilik atau penyewa premis perniagaan diarahkan untuk memasang CCTV bagi memudahkan polis bertindak mengesan jenayah terbabit.

Katanya, kos pemasangan dan penyelenggaraan CCTV dibiayai oleh pemilik atau penyewa premis bangunan terbabit.

"Pasukan polis akan membantu pemilik bangunan mengenai pemantauan CCTV di tempat mereka," katanya.

Menurutnya, bagi pemasangan CCTV di tempat awam ia akan ditanggung oleh pihak polis.

Sementara itu, Musa berkata, CCTV berkenaan akan disambung dengan balai polis bagi memudahkan tindakan apabila berlaku jenayah.

Katanya, semua jabatan dalam PDRM seperti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas bekerjasama menjalankan risikan dan operasi memerangi jenayah.

"Di kawasan panas seperti di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor, Pasukan Gerak Am (PGA) digunakan untuk menjalankan rondaan bagi membanteras jenayah," katanya.

Jenayah hartabenda

Bagi jenayah hartabenda pula, kes pecah rumah malam meningkatkan dari 20,080 kes (2006) kepada 24,440 kes (2007) - meningkat 4,360 atau 21.71 peratus.

Kes curi motokar juga meningkat dari 11,154 kes (2006) kepada 12,427 kes (2007) - meningkat 1,273 kes atau 11.41 peratus.

Kes curi pula meningkat dari 42,472 kes (2006) kepada 44,617 kes (2007) - meningkat 2,145 kes atau 5.05 peratus.

Kes pecah rumah siang meningkat dari 8,792 kes (2006) kepada 9,159 (2007) - meningkat 367 atau 4.17 peratus.

Kes curi motosikal meningkat dari 65,462 kes (2006) kepada 67,584 kes (2007) - meningkat 2,122 kes atau 3.24 peratus.

Kes curi ragut meningkat dari 11,074 kes (2006) kepada 11,127 kes (2007) - meningkat 53 kes atau 0.48 peratus.

Manakala kes curi van/lori/j'berat pula menurun dari 6,338 kes (2006) kepada 5,047 kes (2007) - turun 1,291 atau 20.37 peratus.

Jumlah kes jenayah bagi peringkat negeri pada tahun lalu adalah seperti berikut: Kedah (2,439), Sarawak (2,922), Kelantan (1,198), Selangor (15,104), Pahang (1,263), Sabah (1,919), Pulau Pinang (3,280), Melaka (1,265), Terengganu (751), Perak (3,211), Johor (6,900), Kuala Lumpur (7,639), Negeri Sembilan (1,857) dan Perlis (149).

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.