Parlimen dibubarkan hari ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini.

Abdullah mengumumkan pembubaran tersebut dalam satu sidang akhbar khas di pejabatnya pada jam 12.30 tengahari tadi.

Katanya, kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihatkan supaya mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, juga berkuatkuasa hari ini.

abdullah ahmad badawi election annoucement 130208 talkingBagaimanapun, bagi Sarawak, pilihanraya umum kali ini hanya membabitkan kerusi Parlimen.

Demam pilihanraya sudahpun bermula sejak awal tahun ini ekoran ramalan para pemerhati politik dan juga ahli-ahli politik bahawa pilihanraya umum akan didadakan bulan depan.

Sebelum ini, penganalisa politik dan pihak media juga meramalkan Parlimen akan dibubarkan pada 13 Februari (hari ini) kerana 13 merupakan nombor kegemaran Perdana Menteri.

SPR mesyuarat esok

Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengadap Seri Paduka pagi tadi dan baginda telah berkenan supaya Parlimen ke-11 dibubarkan berkuatkuasa hari ini bagi membolehkan pilihanraya umum ke-12 diadakan.

“Seri Paduka telah menandatangani pengisytiharan pembubaran Parlimen hari ini. Kerajaan-kerajaan negeri juga telah dinasihatkan supaya mengambil tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa pada tarikh yang sama,” katanya.

Menurut Abdullah lagi, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Parlimen telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Perdana Menteri berkata, SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya umum ke-12.

SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuaratnya esok berhubung perkara tersebut.

Ditanya mengapa semalam beliau mengatakan bahawa pembubaran Parlimen tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini, Abdullah menjawab:

“Saya tak boleh beri sebarang bayangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen kerana Yang di-Pertuan Agong belum lagi buat keputusan...macam mana saya nak buat kenyataan... (atau) bagi isyarat... tak boleh...Yang di-Pertuan Agong belum buat keputusan...”

Buat penilaian

Ditanya mengenai signifikan 13 Februari untuk membubarkan Parlimen, Perdana Menteri menjawab: “Tidak perlu ulas...yang penting Yang di-Pertuan Agong telah buat keputusan memperkenankan hari ini Parlimen dibubarkan.”

Menjawab soalan wartawan seterusnya, Perdana Menteri berkata Barisan Nasional (BN) berharap mendapat kemenangan besar, sekurang-kurangnya dua pertiga.

Beliau juga berkata, jentera pilihanraya BN telahpun disusun dan akan digerakkan untuk menghadapi pilihanraya umum ke-12.

Ditanya mengenai muka-muka baru yang akan diketengahkan oleh BN kali ini, Abdullah Berkata: “Bila senarai ditetapkan maka waktu itu kita akan tahu berapa muka lama dan berapa muka baru.”

Perdana Menteri juga menasihatkan pengundi supaya memahami perkara dan isu-isu yang berkaitan dengan negara dan secara objektif membuat penilian bila tiba masanya untuk mengundi.

“Harapan saya semasa pilihanraya ini terutama pada hari pencalonan dan pengundian, tiada apa-apa gangguan yang akan menyusahkan rakyat kita untuk pergi ke tempat undi untuk melaksanakan hak mereka untuk mengundi calon pilihan mereka,” tambahnya.

Kedudukan kerusi

Dalam pilihanraya umum 2004, sejumlah 219 kerusi Parlimen dipertandingkan tetapi kali ini terdapat pertambahan tiga kerusi Parlimen baru di Sarawak berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu pada 2006.

Sebelum Parlimen dibubarkan, BN menguasai 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas masing-masing satu kerusi.

BN, selaku parti pemerintah di semua negeri kecuali Kelantan, dianggotai 14 parti komponen iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan, Parti Progresif Penduduk (PPP), Parti Bersatu Sabah(PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan PasokMomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Parti Maju Sabah (SAPP), PartiBersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat
Sarawak (PRS).

Semasa menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar itu, Abdullah berkata kerajaan membubarkan Parlimen 15 bulan lebih awal kerana mahukan mandat baru bagi meneruskan usaha-usaha memajukan negara.

Tentu tarikh

Sementara itu, SPR yang akan bermesyuarat esok akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihanraya umum ke-12.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, SPR akan membincangkan pelbagai perkara dalam menentukan kedua-dua tarikh itu, termasuk keadaan negara dan keselamatan masyarakat.

"SPR akan memberikan ruang yang sesuai untuk tempoh pencalonan dan seterusnya tempoh berkempen sebelum pengundian diadakan," katanya dalam wawancara secara langsung dengan RTM.

Wawancara itu disiarkan selepas perdana menteri mengumumkan pembubaran Parlimen, berkuatkuasa hari ini bagi mengadakan pilihanraya umum.

Rashid berkata SPR akan mengkaji keadaan semasa bagi menentukan pilihanraya diadakan dalam keadaan yang selamat dan kondusif.

Saksi video di sini

abdullah ahmad badawi election annoucement 130208 letter

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.