Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel), badan independen yang diiktiraf Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kini mengalami masalah kewangan serius untuk menjalankan pemantauan di 50 kawasan parlimen.
Pengerusi Mafrel Abd Malek Hussin berkata urusan permohonan dana awam berjumlah kira-kira RM5 juta tidak dapat diteruskan kerana masih menunggu kata putus Jabatan Perdana Menteri (JPM) sehingga hari ini, dua hari selepas Parlimen dibubarkan.
"Masalahnya, permohonan Mafrel untuk menubuhkan Yayasan Mafrel berdaftar belum mendapat keputusan rasmi daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPM," katanya kepada Malaysiakini .
