Parti Mahasiswa Negara (PMN), yang dilaporkan bercadang mencabar Datuk Seri Abdullah Badawi di Kepala Batas, akan melancarkan kempennya esok di Kampung Berembang, Selangor, kawasan setinggan yang dirobohkan mulai November 2006.
Menurut jurucakapnya Sekh Amir Ali, PMN akan melancarkan Tabung Mahasiswa untuk mengutip derma bagi membiayai kempen mereka, laman web parti (www.partimahasiswa.com) dan merasmikan jentera kempen pada 11 pagi.
Majlis itu dijadual dirasmikan oleh presiden penaja PMN, Azlan Zainal.
Dalam kenyataan berasingan hari ini, Azlan menegaskan PMN akan mencabar Perdana Menteri di kerusi tersebut dengan slogan mereka "di mana ada Pak Lah, di situ ada mahasiswa!"
Minggu lepas parti itu telah mengirim surat kepada parti-parti pembangkang untuk memastikan mereka diberikan laluan agar boleh bertanding satu lawan satu dengan Abdullah.
Sementara itu, Universiti Malaya awal minggu lalu mengambil tindakan disiplin terhadap tiga pelajar yang terlibat dengan program PNM di pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 7 Jan.
Dzulkhairi Mohd Nor, Sheikh Omar Ali dan Mohd Azlan Zainal dibawa ke jawatankuasa disiplin universiti pada 12 dan 13 Feb.
Mereka ke pejabat SPR untuk memohon pendaftaran PMN.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed semalam dilaporkan berkata pelajar-pelajar yang terbabit dalam pilihanraya kali ini boleh dikenakan tindakan bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
"Kita wujudkan mini Parlimen untuk mereka suarakan apa sahaja yang tersimpan dalam hati tetapi berpolitik semasa belajar terutama berkempen pada pilihan raya, pelajar perlu sedar ia merupakan satu kesalahan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU)," beliau dipetik sebagai berkata.
