Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hadir memberi sokongan kepada anaknya Mukhriz di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam di Jitra.
Dr Mahathir semalam menyatakan beliau tidak akan berkempen untuk anaknya itu.
Mukhriz dicabar calon PAS Idris Ahmad dalam pertandingan dua penjuru di kawasan parlimen Jerlun.
Beliau dilaporkan terharu dengan sokongan dari ahli Umno dan parti-parti Barisan Nasional (BN) kepadanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan borang penamaan calonnya pagi ini, Mukhriz berkata pencalonannya disambut baik oleh pengundi di situ, khususnya dari Umno dan BN.
Malah, katanya, bekas ahli parlimen itu Datuk Abdul Rahman Ariffin dan pengikut beliau telah menerima baik pencalonannya di kerusi itu.
Abdul Rahman juga merupakan ketua bahagian Umno Jerlun.
Mukhriz menjangka beliau dapat mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti dua kali ganda daripada pilihanraya 2004.
Katanya, keyakinannya ini ekoran maklumat bahawa pengundi di situ mahu memberikan sokongan besar kepada BN.
Dalam pilihanraya lalu, Abdul Rahman menewaskan calon PAS dengan majoriti 2,142 undi.
Beliau memperolehi 19,123 undi manakala calon PAS Idris Ahmad mendapat 16,981 undi.
