Parti Mahasiswa Negara (PMN), yang sangat beria-ia bertanding di kerusi Kepala Batas, mendakwa calonnya dihalang daripada menyerahkan borang pencalonan semalam.

Presiden penaja PMN Azlan Zainal memberitahu Malaysiakini hari ini, beliau bersama calon parti itu disekat sebanyak tiga kali oleh polis sehingga waktu pencalonan tamat jam 10 pagi.

PMN bercadang meletakkan calon bebas Zainur Faqar Yaacob, dulunya aktif bersama perkumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), di kerusi tradisi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi persaingan satu lawan satu.

Bagaimanapun calon parti baru itu, yang hanya memohon pendaftaran bulan lalu, tidak muncul-muncul.

Abdullah hanya dicabar oleh calon PAS Subri Arshad.

Azlan berkata, kumpulan mereka sepatutnya disertai empat orang termasuk calon, seorang pencadang dan dua penyokong calon.

Bagaimanapun seorang daripadanya tertinggal di belakang dan gagal melepasi pintu pagar utama kawasan itu selepas mereka bertiga berada di halaman dewan. Difahamkan, beliau yang memegang borang pencalonan.

Perkara itu juga turut melambatkan perjalanan kumpulan calon PMN.