Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: 'Cah keting' rahsia Umno tewas
Diterbitkan:  Feb 27, 2008 8:50 PM
Dikemaskini: 8:14 PM

Timbalan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin dan pengikut parti itu di Kelantan agar menghentikan amalan "cah keting", atau sabotaj dalam parti sendiri, dan semangat berpuak-puak jika BN mahu merampas Kelantan.

Sabotaj dan ketegangan antara kem-kem menghalang Umno berbuat demikian pada pilihanraya 2004, tambahnya.

Timbalan perdana menteri itu merujuk pertarungan tiga kem utama dalam Umno negeri, antara Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapa Mohamed yang mempertahankan kerusi Jeli, ketua perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa (Ketereh) dan juga Datuk Dr Awang Adek Hussin (Bachok).

najib tun razak 01 Bercakap kepada sekumpulan penyokong BN dalam kempennya di Kelantan hari ini, Najib turut memuji Annuar atas kesanggupannya melepaskan peluang menjadi menteri besar apabila meninggalkan kerusi DUN kepada Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Pada 2004, Annuar menang di kerusi DUN Kok Lanas - kini diserahkan untuk ditandingi Datuk Alwi Che Ahmad, dulunya menang di parlimen Ketereh.

Ketika mengumumkan calon BN minggu lepas, Annuar menyebut Dr Awang, yang menghadapi tugas berat merampas Perupok, dilantik sebagai MB jika BN menguasai Kelantan.

Calon MB itu berdepan dengan penyandang PAS Datuk Omar Mohammed yang menang dengan majoriti 1,044 undi pada 2004.

Umno hanya kekurangan satu kerusi berbanding PAS selepas pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada 2005.

Manakala Mustapa berada selesa di kerusinya sekarang dengan majoriti 7,353 undi, kedudukan Annuar (majoriti 2,888) kelihatan lebih baik berbanding Dr Awang (1,567) yang terpaksa berdepan dengan timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Annuar dicabar calon PKR Abdul Aziz Kadir.

Dalam ceramahnya itu di Machang, lapor laman web New Straits Times hari ini, Najib mendedahkan beliau sering terpaksa campur tangan untuk meredakan perselisihan kem-kem di negeri itu.

Dengan nada bergurau beliau dilaporkan berkata "saya sudah letih berulang-alik ke Kelantan, saya mari sini dan menjerit, kemudian balik ke rumah dalam keadaan penat sehingga terpaksa suruh isteri saya picit-picit badan."

Kerusi DUN Kemuning, yang dimenangi PAS dengan hanya 2 undi, bawah parlimen Machang disebut Najib sebagai satu bukti perpecahan dalaman yang merugikan calon-calon BN.

Beliau menyatakan rasa kesalnya atas ketewasan itu kerana kerusi parlimen itu dimenangi BN dengan majoriti kecil, 135 undi.

Penyandang Datuk Sazmi Miah kali ini dicabar pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Dua lagi kerusi DUN, Pulau Chondong dan Temangan, dikuasai PAS masing-masing dengan majoriti 105 dan 75 undi.

Sementara itu, di satu majlis lain di Pasir Mas, Dr Awang yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno negeri berkata beliau bersedia ke kerusi "panas" Perupok bagi membuktikan kelayakannya sebagai calon MB.

"Tetapi saya tidak takut kerana kalau saya takut lebih baik saya bertanding di DUN Jelawat yang terjamin selamat," katanya.

DUN itu dimenangi BN dengan kelebihan 1,133 undi pada 2004.

"Kalau nak (saya) jadi menteri besar kena menanglah bukan sahaja di Perupok tetapi seluruh Kelantan," beliau dipetik Bernama sebagai berkata.

Dr Awang sedar cabarannya berat untuk menggalas persaingan dengan calon PAS di Perupok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS