Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan naib presiden PAS Mohamad Sabu yang bertanding di parlimen Kuala Terengganu sebagai "calon terbuang" dari negeri-negeri lain.
"Rakyat Terengganu sepatutnya merasa malu dengan calon import PAS itu. Beliau telah ditolak di Kedah.
"Dia (Mohamad) ada masalah di Hotel Perdana (Kota Bharu) tetapi telah ditutup oleh kerajaan PAS," katanya, yang juga pengerusi BN negeri, ketika berucap di satu majlis anjuran Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Kuala Terengganu petang tadi.
Beliau merujuk kontroversi kes khalwat Mohamad di Kota Bharu pada 1994. Kes ini bagaimanapun digugurkan.
Mohamad akan menentang penyandang Datuk Razali Ismail bersama seorang calon bebas, nenek 89 tahun, Maimun Yusof.
Tokoh PAS itu berasal dari Pulau Pinang tetapi pernah menang dua kali di kerusi parlimen Kelantan pada 1990 dan 1995, selain menang di Kuala Kedah, Kedah pada 1999. Beliau tewas di kerusi itu pada 2004.
Idris berkata, tindakan Mohamad bertanding di parlimen negeri itu menunjukkan PAS tidak ada calon di kalangan anak tempatan.
"Bukan sahaja tidak ada calon, PAS juga sudah tiada isu sebab itu parti itu ulang isu yang sama," katanya lagi.
Wakil rakyat PAS di kerusi itu pada 1999, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, tewas pada 2004, dan kini bertanding di DUN Batu Buruk, satu daripada empat kerusi bawah parlimen tersebut.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Idris berkata, rakyat Terengganu menyokong BN dalam pilihanraya umum kali ini berdasarkan sambutan rakyat terhadap program-program Umno di seluruh negeri sejak hari pencalonan Ahad lalu.
"Itu yang rakyat kata kepada kita. Kalau kita tengok, markas PAS termasuk di kawasan kubu kuat PAS tidak ada orang," tambahnya.
Idris berkata, oleh kerana itu beliau tetap yakin BN akan mencapai kejayaan yang lebih besar pada 8 Mac ini berbanding 2004.
Dalam pilihanraya umum lalu, BN merampas kembali 28 daripada 32 kerusi DUN yang dikuasai PAS pada 1999.
