khairy jamaluddinSukarelawan Parti Mahasiswa Negara (PMN) mahu menemui naib ketua Pemuda Umno, yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Ahad ini untuk membincangkan beberapa agenda kepentingan generasi muda.

Presiden penajanya, Azlan Zainal berkata, PMN melihat Khairy sebagai seorang yang agak lantang dalam beberapa isu kepentingan generasi muda, seperti isu prestasi sukan bola sepak nasional, gejala mat rempit, gengsterisme dan isu kemunduran Kelantan 18 tahun berbanding pembangunan kerajaan pusat.

Oleh itu, katanya, 50 sukarelawan PMN akan berkampung di parlimen Rembau Ahad ini untuk bertemu dan berbincang agenda itu dengan Khairy.

Beliau berkata, PMN bukan mencabar Khairy atau mana-mana pihak.

"Kedatangan PMN hanya untuk berkongsi agenda kepentingan generasi muda di Malaysia. PMN berharap saudara Khairy bersedia untuk bertemu kami pada hari tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Jika pertemuan tersebut menjadi kenyataan, terdapat beberapa persoalan yang ingin kami utarakan. Kami memang memerlukan jawapan jujur Khairy," tambahnya.

"PMN berharap kedatangan kami untuk berkongsi agenda kepentingan generasi muda, disambut baik Khairy dan Umno-BN di sana. Jumpa di Rembau Ahad ini," kata Azlan.

Khairy dicabar calon muda PKR Badrul Hisham Shaharin, yang bertanding mencabar Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan pada 2004 di kerusi Rantau, satu daripada empat kawasan DUN dalam Rembau.