Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kepimpinan PAS Kedah mendakwa, kekerapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turun ke negeri tersebut mencerminkan kebimbangan Barisan Nasional (BN), Khususnya Umno, dalam menghadapi pilihanraya umum 8 Mac ini.

"Abdullah sudah dua kali datang ke Kedah dalam tempoh 10 hari lalu - nampak sikit kelainan, nampak macam bimbang," kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Azizan Abdul Razak hari ini.

najib tun razak Malah, katanya, Timbalan Perdana, Datuk Seri Najib Tun Razak juga sudah dua kali turun untuk berkempen di Kedah.

Di samping itu, katanya, Abdullah juga tidak mendapat sambutan sepatutnya ketika berada di Kedah, termasuk ketika beliau melawat Kuala Kedah.

abdullah ahmad badawi pak lah "Difahamkan hanya 300 orang yang hadir menyambut Pak Lah di Kuala Kedah. Manakala di Pendang pula, kira-kira 200 datang menyambut Najib," katanya.

Pendang merupakan satu-satunya kerusi parlimen yang diwakili PAS di Kedah. Calonnya, Dr Mohd Hayati Othman memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis 50 undi. Beliau mendapat 24,430 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Paduka Md Rozai Shafian yang memperolehi 24,380 undi.

Parlimen Pendang mempunyai 62,592 pengundi yang majoritnya Melayu (88.5%), Cina (5.8%), India ( 0.5%) dan lain-lain (5.2%). Jumlah tersebut bertambah 5,412 orang berbanding 57,180 pada 2004.

Peluang tambah kerusi

azizan abdul razak Menurut Azizan, jumlah kehadiran tersebut adalah terlalu kecil bagi menyambut kedatangan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Menurut Azizan, jika keadaan berterusan, pihak pembangkang mempunyai peluang yang baik untuk menambah kerusi di Kedah.

Difahamkan, kebimbangan tersebut berpunca daripada tindakan Abdullah mengubah senarai calon yang dikemukakan oleh Umno negeri untuk kerusi negeri dan Parlimen.

Sumber-sumber Umno memberitahu Malaysiakini sebelum ini, bahawa perubahan yang dibuat itu menyebabkan kira-kira 40 peratus calon dalam senarai awal, digugurkan.

Ia menyebabkan kepimpinan Umno negeri bimbang mengenai kemungkinan berlakunya undi protes dari kalangan penyokong Umno di kerusi-kerusi terbabit.

Sementara itu, Azizan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, yang dimenanginya pada 2004 dengan majoriti 1,080 undi.

Beliau mendapat 10,882 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Suhaimi Abdullah yang memperolehi 9,802.

Azizan bagaimanapun tidakmempertahankan kerusi Parlimen Sik yang ditandinginya pada 2004

Dalam pilihanraya umum tersebut, Azizan hanya tewas dengan majoriti tipis sebanyak 51 undi kepada calon BN, Datuk Dr Wan Azmi Wan Ariffin.

Azizan mendapat 15,038 undi manakala Dr Wan Azmi mendapat 15,357 undi.

Kali ini, PAS meletakkan muka baru, Che Uda Che Nik bertanding di Parlimen Sik menentang calon Umno, Datuk Osman Desa.

Parlimen Sik mempunyai 40,075 pengundi, yang mana-mana 92.9 peratus adalah pengundi Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS