Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menggesa anak Kelantan agar balik mengundi parti PAS dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.
Katanya tiada sebab untuk mereka tidak menyokong kerajaan PAS sekarang kerana kerajaan pusat tetap akan membawa kemajuan kepada negeri tersebut.
"(Jika) kita balik di Kelantan kita jumpa dengan projek kerajaan pusat sendiri lama dah... sekolah-sekolah di seluruh Kelantan dibuat oleh kerajaan pusat, klinik-klinik seluruh Kelantan dibuat oleh kerajaan pusat," katanya ketika berucap pada kempen pilihanraya Parlimen Putrajaya di sini hari ini.
Nik Aziz berkata sekarang ini terdapat jambatan baru dan beberapa universiti yang kesemuanya dibangunkan oleh kerajaan pusat, demikian menurut Bernama.
"Sekarang ni pula ada jambatan baru pun pusat, ada universiti di Pengkalan Chepa, Jeli, Machang, dan di Bachok nak buat universiti pun pusat (yang sediakan), jadi ikut logiknya kalau Kelantan di bawah PAS sekarang kerajaan pusat bawakan pembangunan, tiada sebab kita nak undi parti lain," kata beliau.
