Sambil menunjukkan kertas undi, calon PKR Saifuddin Nasution Ismail mengajar pemilih-pemilih bagaimana seharusnya mereka memangkah kertas tersebut pada 8 Mac ini.

“Adik kakak pilih yang nombor 1, yang di atas,” katanya, menunjukkan kertas undi olok-olok yang memaparkan namanya dan lambang PKR bersama nama calon lawannya, sampel kertas yang bakal dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada hari pengundian Sabtu ini.

Di depan 30 pengundi, rata-ratanya berusia 50 hingga 60 tahun, Saifuddin mengambil langkah semudah itu ketika berkempen semalam di sebuah pusat pendidikan kanak-kanak anjuran PAS di kawasan tersebut, kira-kira dua kilometer dari rumahnya sekarang di Ayer Hijau.

Bekas ahli DUN Lunas, Kedah itu kini bertugas dengan kerajaan PAS Kelantan sebagai pengurus Tabung Amanah Tok Kenali yang mengendalikan urusan warga emas.

"Saya berpeluang menjelajah ke seluruh negeri untuk mengurus 99,632 warga emas dan keluarga mereka.

"Jadi saya merayu kepada mereka agar memberi peluang kepada saya untuk dipilih sebagai ahli parlimen bagi meneruskan khidmat saya kini," katanya, sambil menambah strategi kempennya sehingga semalam bersifat memujuk dan memperkenal diri.

Di kertas undi peringkat DUN Temangan, satu daripada tiga kerusi negeri di parlimen tersebut, nama calon PAS Dr Mohd Fadzli Hassan juga berada di atas. Doktor falsafah jurusan perbandingan agama ini, yang mendapat 75 undi, mempertahankan kerusinya berdepan calon muka baru wanita BN Rahimah Mohamad.

Saifuddin turut mempromosikan calon PAS itu kerana, menurutnya, dukungan penyokong tradisi parti itu bersama jenteranya menjadi “prasyarat kemenangan” beliau di Machang, kawasan pedalaman yang luas dengan kampung yang bertaburan.

"Saya pada mulanya (awal kempen) menghadapi masalah logistik. Jarak sesuatu tempat jauh. Jadi kini saya sudah perbaiki, hanya berkempen di satu DUN sahaja pada sesuatu masa."

Apatah lagi simbol partinya, dua bulan sabit, yang kurang dikenali di sini berbanding bulan dan dacing. Beliau juga menekankan apa ertinya simbol bulan purnama dan bulan sabit itu dalam pakatan pembangkang kepada ibu bapa dan keluarga murid itu.

“(Parti) Keadilan itu sendiri belum menangkap imaginasi rakyat,” katanya kepada Malaysiakini sebelum majlis itu, sambil menambah jentera PKR, sebagai parti yang masih muda, tidak dapat mencipta imejnya di sini berbanding dua lagi parti tradisi Melayu.

“Kalau kita tanya, makcik tahu dari mana (parti) Keadilan? (Jawab mereka) oh, anak makcik duduk (tinggal) di Kuala Lumpur.”

Majoriti pemilih di sini termasuk penyokong Umno, tambahnya, tidak mempunyai akses kepada maklumat alternatif.

“Penyokong Umno masih ada rasa cinta, kasih pada Datuk Seri Anwar Ibrahim. (Melalui media massa) Anwar dituduh ejen kuasa besar, ejen Amerika, ejen Yahudi dan pro-Hindraf. Betulkah begitu? Jadi perasaan ingin tahu itu tebal sekali,” katanya.

“Sebab itu saya cetak poster saya sebelah menyebelah dengan (foto) Anwar. Sasarannya bukan untuk penyokong PAS, tetapi untuk ahli Umno atau bekas penyokong Umno.”

saifuddin nasutionBerharapkan saki-baki sokongan Anwar itu, Saifuddin menjangkakan ceramah besar yang dihadiri Anwar malam ini di parlimen itu akan disertai ramai penyokong Umno walaupun pada waktu yang sama di Kota Bharu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadual berucap di stadium bersama exco negeri Datuk Husam Musa dan juga ahli politik kontroversi Datuk Ibrahim Ali.

Di beberapa tempat menuju pekan Machang, poster Saifuddin itu – yang turut memuatkan imej Nik Abdul Aziz – jelas kelihatan.

Banyak calon menggunakan imej pemimpin besar masing-masing, termasuk pengerusi perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa yang meletakkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, poster dan kain pemidang presiden PAS Abdul Hadi Awang di parlimen Marang turut memuatkan imej Nik Aziz, sebagai mursyidul am PAS.

Menurut Saifuddin, pengundi generasi tua di Kelantan lebih mudah mengenali tokoh ulama PAS itu dan menganggap hasrat BN menawan negeri itu hujung minggu ini sebagai “percubaan untuk merampas kuasa politik Islam”, bukannya membawa pembangunan pesat seperti disebarkan melalui media massa.

Imej Nik Aziz, sedang tunduk dan khusyuk, menadah tangan berdoa ditampal di serata tempat, termasuk di badan kenderaan. Di bawah foto ini, lambang bulan dan simbol 'pangkah' -- ertinya undilah PAS.

Saifuddin berkata, selain menyebarkan biodata rasminya, beliau juga memperkenalkan dirinya sebagai “menantu (allahyarham) cikgu Musa”, bekas bendahari PAS kawasan Machang, dan beristerikan anaknya Norhayati – semua itu sebagai menjawab isu calon luar.

“Saya memang dari luar, berasal dari Kedah. Tetapi saya menetap di sini. Sudah tiga tahun. Calon BN memang asal Machang tetapi tinggal di Putrajaya. (Sazmi) pulang ke sini hanya tiga atau empat bulan sekali dan tinggal pula di hotel di Kota Bharu. Semua orang Machang tahu tentang itu,” katanya.

Penyandang kerusi parlimen Machang Datuk Sazmi Meah ialah setiausaha parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang lantang dalam isu penggondolan hutan Lojing awal tahun lepas.

Beliau bagaimanapun menang dengan majoriti tipis, 135 undi, sekali gus membuka harapan kepada parti pembangkang untuk merampasnya.

Saifuddin memberitahu, strateginya secara umum terbahagi dua, mengekalkan sokongan sedia ada pada PAS dan menyampaikan mesej kepada pemilih baru, pengundi atas pagar dan penyokong Umno.

"Machang itu sendiri tidak dianggap sebagai kubu PAS, sebab itu saya letak diri saya sebagai calon underdog dalam pilihanraya ini."

Untuk itu, beliau mengambil langkah lebih bersifat peribadi – mengirim tiga pucuk surat kepada pemilih berdasarkan alamat mereka di pangkalan data yang dimilikinya, membuat panggilan telefon sehingga 150 orang sehari seperti taktik jurujual memasarkan barang dan juga menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Saya tidak perasan pesanan ringkas ini rupa-rupanya so powerful,” katanya. “Bukan sahaja mereka menyatakan sokongan atau mempersoalkan manifesto PKR, tetapi ada juga yang bertanyakan nombor akaun bank saya untuk memasukkan wang.”

Setakat seminggu berkempen, beliau menerima RM7,000 dan wang itu digunakan untuk membiayai sebahagian kos kempennya.

Beliau juga menyediakan manifesto peribadi -- istilahnya "Piagam Calon" -- langkah-langkah yang akan diambil dalam tempoh 30 hari selepas memenangi kerusi ini, antaranya menetap di Machang dan menyediakan pejabat bergerak khidmat ahli parlimen.

Machang mempunyai 49,157 pengundi, dengan  95.49 peratus Melayu, 4.08 peratus Cina. Selain Temangan, Pulau Chondong menyaksikan persaingan antara penyandang Zulkifli Mamat (PAS) yang menang hanya 105 undi dengan calon BN Dr. Asri Mejah.

Kerusi ketiga di sini Kemuning, yang dikuasai PAS dengan kelebihan dua undi, menyaksikan pertandingan muka-muka baru Ahmad Jazlan Yaakob (BN) dengan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS).