Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan kedua terbaik bayar hutang
Diterbitkan:  Mar 4, 2008 3:17 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Tidak cukup kenyataan umum, harus ada statistik untuk menegakkan hujah dalam kempen pilihanraya -- itulah langkah yang diambil oleh PAS hari ini selepas didakwa "muflis".

Sambil menafikan ekonomi Kelantan lemah dan kerajaannya muflis seperti dakwaan pemimpin kanan BN, exco kanan Datuk Husam Musa membacakan senarai negeri yang mempunyai banyak tunggakan.

Kecuali Sarawak, semua negeri yang dikuasai BN mempunyai tunggakan hutang yang lebih banyak daripada Kelantan.

Menurut data "Tunggakan Bayaran Balik Pinjaman Mengikut Negeri Sehingga 31 Disember 2006", Kelantan mempunyai tunggakan RM11.6 juta berbanding Selangor sebanyak RM587.45 juta, Kedah (RM385.23 juta), Johor (RM365.8 juta) dan Pahang (RM309.13 juta).

Terengganu, yang berjaya dirampas BN pada pilihanraya umum lepas, mempunyai tunggakan RM300.34 juta.

Beliau mengulangi perangkaan rasmi prestasi pembayaran balik hutang itu selepas kenyataan beliau sebelum ini hanya menyebut angka-angka tanpa sebarang dokumen.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyeru pengundi di negeri itu memilih BN dengan alasan kerajaan negeri kini tiada kemampuan mentadbir dengan berkesan berikutan bebanan hutang serius yang tertunggak sebanyak RM1 bilion.

Pengerusi BN negeri Datuk Annuar Musa pula dilaporkan berkata defisit terkumpul belanjawan Kelantan berjumlah RM400 juta setahun dan bukannya RM5 juta, termasuk hutang pinjaman air daripada kerajaan pusat sebanyak RM600 juta.

Husam menjelaskan, hutang air itu diambil selepas kerajaan negeri mengambil alih projek bekalan air daripada sebuah syarikat swasta dan telah berjaya membuat pembayaran seperti dijadual.

Tempoh pembayaran hutang untuk projek itu memakan masa 20 tahun dan tempoh matangnya bermula tahun lepas, tambahnya.

"Tidak ada pihak yang membayar hutang sekali gus," katanya, sambil menambah Kelantan telah membuat bayaran pertama sejumlah RM4 juta pada November tahun lepas.

Kelantan juga telah membayar kira-kira RM1.4 juta hutang tersebut pada Januari tahun ini daripada jumlah RM3 hingga RM4 juta yang wajib dibayar tahun ini, katanya.

Pada 2007, tambahnya, kerajaan PAS Kelantan telah membuat pembayaran pertama lebih kurang RM3 juta dan pada tahun ini pula RM3 juta hingga RM4 juta dibayar.

Menurut Husam lagi, dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang disertainya, pemimpin-pemimpin negeri yang ditadbir BN menunjukkan rasa tidak bersedia untuk membayar tunggakan tersebut.

ADS