kemaskini 7:30pm Selepas berkempen hingga semalam, PAS telah berjaya "merampas kembali" tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri yang dulunya dikuasai BN, kata naib presidennya Datuk Husam Musa hari ini.
Sementara persaingan sengit di lima lagi kerusi DUN sedang didahului oleh PAS, tambahnya di sidang media hariannya di pusat media Global Media Channel.
Beliau enggan menamakan kerusi-kerusi tersebut dan jumlah kerusi yang benar-benar stabil di tangan PAS daripada 23 kerusi yang disandangnya sekarang.
Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dan 14 parlimen. PAS memerintah dengan majoriti satu kerusi selepas pilihanraya kecil 2005.
Husam sebelum ini pernah menyatakan partinya mampu merampas sehingga antara 30 hingga 38 kerusi DUN.
Kenyataannya tadi dipercayai merujuk kerusi-kerusi yang dikuasai BN dengan majoriti kecil.
Kerusi-kerusi tersebut, yang bermajoriti bawah 800 undi, termasuklah: Pengkalan Kubor (714), Semerak (699), Mengkebang (316), Melor (212), Selising (187), Pengkalan Pasir (134) dan Manek Urai (53).
Dua lagi kerusi BN bawah 800 undi ialah Tendong (789) dan Air Lanas (799).
Bagaimanapun PAS sendiri mempunyai enam kerusi DUN yang majoritinya kecil dan cuba dirampas oleh BN: Bukit Panau (426 undi), Pulau Chondong (105), Temangan (75), Gaal (43), Kota Lama (34) dan Kemuning (2).
Lima lagi kerusi DUN di tangan PAS menyaksikan majoriti antara 500 hingga 800 undi: Chetok (512), Limbongan (646), Kelaboran (691), Kadok (711) dan Kemahang (765).
Malah BN sendiri tidak menolak kemungkinan hilang beberapa daripada 22 kerusi yang disandangnya saat ini.
Pengerusi BN negeri Datuk Seri Annuar Musa bagaimanapun tetap berkata beliau yakin mampu merampas tujuh atau lapan kerusi yang kalah dengan undi tipis menang pada pilihan raya lalu.
Malaysiakini difahamkan, PAS sudah menguasai lebih kurang 20 kerusi DUN setakat tempoh berkempen hingga semalam, termasuk lebih 10 kerusi yang dinilai "bergred A".
Sementara beberapa DUN dalam parlimen kubu kuat BN seperti Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai akan jatuh ke tangan BN, kata sumber itu lagi.
