Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, Husam cukup faham soal-jawab media dan kini sedang meningkatkan imejnya melalui media.
Semalam beliau kelihatan tenang seperti biasa.
Air mukanya itu dan jawapannya yang terkawal menjadi misteri, menyimpan keadaan sebenar pertarungan sengit kerusi-kerusi, khususnya bermajoriti kecil, antara PAS dengan BN.
"Kalau tertekan, tidak sempat nak buat sidang media hari-hari di sini," katanya kepada Malaysiakini di Global Media Channel, apabila ditanya bagaimana perasaannya berkempen sekarang berbanding 2004."Mood pengundi sekarang seperti (era reformasi) 1999," tambahnya, mengulangi kenyataannya yang pernah dibuat di tempat-tempat ceramah dan juga sidang-sidang media sebelumnya.
Namun di jalan-jalan Kota Bharu, Kuala Terengganu dan juga Kuala Lumpur yang ditinjau sepanjang tempoh berkempen, senario 1999 tidak jelas kelihatan.
Pelekat parti-parti yang disokong masing-masing, misalnya, tidak ditampal dengan banyak dan meriah di kereta-kereta pengundi biasa seperti yang dilihat beberapa bulan sebelum November 1999.
Bendera, simbol parti dan foto calon bertanding hanya ditampal di kenderaan jentera kempen dan penyokong tegar -- dan jumlahnya kelihatan tidak meriah.
Namun, di tempat-tempat persaingan sengit antara BN dan PAS, perang poster memang hebat.
Di kerusi Marang yang ditandingi presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, "meriam" bersalutkan simbol dacing dan bulan purnama saling dihadapkan ke arah pihak lawan.
Perang poster tidak pernah kalah antara dua parti Melayu ini -- ia tidak boleh dijadikan ukuran; malah ia wujud sekadar perang psikologi, seperti ceramah besar yang dihadiri ribuan penyokong.
Husam memulakan sidang medianya menjelang tengah hari semalam dengan melaporkan empat ceramah besar di Tumpat, Machang, Rantau Panjang dan Kota Bharu.
Selain beliau sendiri, Menteri Besar Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing berceramah di dua tempat pada malam yang sama. Selain itu, mood pengundi umumnya tidak kelihatan dan sukar diduga. Mereka bukan sahaja diam tetapi kebanyakan yang ditemui, kecuali penyokong tegar, enggan bercakap panjang.
Sekali lagi, ia menimbulkan suasana misteri dan rasa tidak selamat.
Beberapa pemilih yang mendakwa tidak menyertai mana-mana parti berkata senario di Kelantan kali ini sunyi dan sukar diduga.
"Tidak banyak kenderaan dengan lambang parti masing-masing," katanya, seorang pegawai bank dari Wakaf Che Yeh.
Sementara rakannya pula, seorang kakitangan swasta di Pengkalan Chepa menyifatkan keadaan itu muncul kerana orang ramai sudah mengambil keputusan parti dan calon yang mereka mahu.
Seperti biasa, jentera PAS Kelantan memang bekerja keras -- malah masuk minggu kedua kempen, mereka meningkatkan serangannya, termasuk menaikkan lebih banyak poster calon dan parti, selain sempat mengindahkan poster-poster sedia ada di tepi jalan. Jentera PAS negeri turut ditumpangi anak-anak muda berusia awal 20-an yang berseluar jeans, berbaju T, dan malah memakai rantai leher, kata seorang pemimpin parti dan juga calon kepada Malaysiakini.
Tambahnya, anak-anak muda ini bukan imej Pemuda PAS yang gemar berbaju Melayu, memakai baju T parti atau berkupiah walaupun ketika memasang bendera -- imej ini pernah muncul pada 1999 tetapi kali ini tidak seramai sedekad lalu.
Kata pemimpin itu, yang enggan mendedahkan identitinya, kempen keras PAS Kelantan dalam tempoh dua minggu ini juga didorong perasaan "takut kalah" yang kuat di kalangan pemimpin atasan, termasuk Menteri Besar, sehingga ke peringkat akar umbi jentera parti.
Psikologi "takut kalah" ini sudah membiak sejak beberapa tahun lagi, selepas Terengganu tewas teruk dan BN mengasak rapat sekali Kelantan pada 2004.
Empat tahun lalu, katanya lagi, jentera PAS dan pemimpinnya lebih complacent, mungkin keputusan 1999 yang terlalu menggembirakan mereka.
Mungkin akibat psikologi itu, di beberapa ceramah, calon-calon PAS menganggap usaha BN menawan Kelantan sebagai percubaan "orang luar", yakni Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya Khairy Jamaluddin, mengajar orang Kelantan.
Calon parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah misalnya, dilaporkan berkata hari ini: "kita tidak rela hidup dalam tahanan orang luar. Anak Kelantan tidak rela orang luar datang untuk mengajar kita di bumi sendiri."
Ketika diwawancara Malaysiakini semalam, Husam juga menyatakan orang rakyat Kelantan akan bersatu padu apabila pemimpin-pemimpin dari luar Kelantan cuba menentukan nasib mereka.
"Walaupun berbeza parti, tetapi mereka bersatu atas nama Kelantan. Inilah budaya orang Kelantan.
"Saya lihat Pak Lah dan Khairy mahu melanyak Tok Guru (Nik Aziz), saya fikir rakyat Kelantan tidak akan membiarkan Tok Guru dilanyak."
Di sidang medianya sebelum wawancara itu, beliau turut menyifatkan serangan media arus perdana terhadap Kelantan sebagai "berlebihan" dan boleh menguntungkan PAS.
Sementara itu janji-janji pembangunan BN belum tentu diterima positif oleh pengundi.
"Isu-isu pembangunan yang dibawa BN, yang menampakkan orang Kelantan miskin dianggap sebagai penghinaan," kata seorang kontraktor dan pemilik sebuah chalet kecil di Kota Bharu.
"Orang Kelantan bukan menolak pembangunan. Tetapi mereka mahu pembangunan yang seimbang, yang dapat mereka kejar dan kecapi. Tidak ada guna pembangunan pesat yang merugikan diri sendiri."
Kira-kira 60,000 pengundi dari luar Kelantan yang akan pulang mengundi pada Sabtu ini masih menimbulkan tanda tanya dan menjadi taruhan -- PAS dan BN masing-masing merangsang mereka pulang memangkah calon masing-masing. Lebih 735,500 pengundi, termasuk dari luar, akan menentukan nasib dua parti ini dan masa depan kerajaan PAS Kelantan.
Ada pengamat menyifatkan kehadiran ini tidak jauh peranannya dengan "pengundi hantu", tidak dapat diduga tetapi pasti menaikkan undi BN.
Namun seorang petugas dengan kerajaan negeri itu berkata, sebagai parti yang menguasai sebuah kerajaan negeri selama beberapa dekad, PAS Kelantan sudah bersedia lebih awal, khususnya memantau pergerakan pengundi baru.
"Bukan sahaja BN yang mendaftar pengundi baru, PAS juga berbuat demikian," katanya.
"Malah, usaha memindahkan pengundi tidaklah semudah yang dijangka kerana ada proses hitam-putih melalui data Suruhanjaya Pilihanraya."
Husam yakin daripada jumlah pengundi luar itu, sebahagian besar generasi muda, 70 peratus akan menyokong PAS.
Namun parti itu tidak dapat menyembunyikan keresahannya apabila bergegas mengesahkan semua maklumat tentang kemungkinan masuknya pengundi-pengundi itu dalam jumlah besar melalui bas-bas.
Malaysiakini difahamkan, dalam kajian PAS setakat kelmarin, parti itu sudah menguasai lebih kurang 20 kerusi DUN , termasuk lebih 10 kerusi yang dinilai "bergred A".
Sementara beberapa DUN dalam parlimen kubu kuat BN seperti Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai akan jatuh ke tangan BN, kata sumber itu lagi.
Husam, calon DUN Salor, menafikan wujudnya trend mengundi "kerusi DUN untuk PAS, parlimen untuk BN" kali ini walau ia menular mulai 2004.
Namun pemimpin-pemimpin PAS yang bertanding di peringkat parlimen masih lagi resah dan berkempen mati-matian untuk memastikan kedudukan masing-masing selamat -- tidak disapu arus "Kelantan Baru, Kelantan Maju" dan "18 (tahun) lamo doh weh!"