Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa yakin PAS akan terus memerintah Kelantan dan menjangkakan parti itu boleh menang lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihanraya umum 8 Mac ini.

husam musa 02 Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu temubual di Kota Bharu semalam, beliau berkata, "tujuh kerusi yang dimilki Barisan Nasional (BN) sedang kita dahului, manakala lima kerusi yang menyaksikan persaingan sengit didahului oleh PAS."

Exco kanan kerajaan negeri itu berkata BN negeri sebaliknya hanya mensasarkan untuk menang di 25 kerusi sahaja dan kerana itu jentera BN memfokuskan kepada DUN tertentu sahaja.

"(BN) membiarkan kawasan-kawasan lain yang mereka tidak boleh makan (menang).

"Pada 2004 jentera BN kuat tetapi kali ini mereka fokus kepada DUN tertentu sahaja," katanya.

Dalam pilihanraya umum 2004, PAS Kelantan menang 24 kerusi DUN, bagaimanapun parti itu kalah kepada BN di Pengkalan Pasir dalam pilihanraya kecil setahun selepas itu.

Bagi menguatkan keyakinannya, Husam berkata, kira-kira 70 peratus daripada 60,000 warga Kelantan yang berada di luar akan balik mengundi PAS Sabtu ini.

Husam juga mendakwa, rakyat Kelantan akan bersatu padu apabila pemimpin-pemimpin dari luar Kelantan cuba menentukan nasib mereka.

"Walaupun berbeza parti, tetapi mereka bersatu atas nama Kelantan. Inilah budaya orang Kelantan.

"Saya lihat Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Khairy (Jamaluddin) mahu melanyak Tok Guru (Datuk Nik Aziz Nik Mat), saya fikir rakyat Kelantan tidak akan membiarkan Nik Aziz dilanyak.

"Pendekatan BN itu, agak tamak dan ia tidak sesuai dengan orang Kelantan yang suka dipujuk dan dirayu," katanya lagi.

Husam juga berkata, secara keseluruhannya mood pengundi kali ini menyebelahi pembangkang khususnya PAS di Kelantan.

Katanya, mood rakyat kali ini hampir dengan mood 1999, cuma kali ini ia turut disertai oleh orang Cina dan India.

"PAS telah berjaya menjadi teman kepada mereka, kita telah berjaya memecahkan halangan pemikiran (antara pengundi bukan Melayu dengan PAS) yang dimainkan oleh BN selama ini," katanya lagi.

Tambahnya, rakyat juga tidak percaya lagi kepada janji-janji Abdullah yang dibuatnya sejak empat tahun lalu.

Menurut Husam, di atas kertas janji BN kelihatan baik tetapi yang sebenarnya ia tiada apa-apa.

"Pak Lah selalu membuat janji untuk menyedapkan orang lain tetapi kini orang tidak percaya Pak Lah boleh buat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS