Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS dan Barisan Nasional di Terengganu kini dalam kedudukan 50-50 tetapi banyak kerusi BN bakal jatuh ke tangan parti pembangkang, kata presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Sebelum pembubaran parlimen, PAS menguasai empat kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Rhu Rendang, Manir, Batu Buruk dan Wakaf Mempelam.

Manakala BN menang 28 daripada 32 kerusi DUN.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, jika pilihanraya dijalankan secara telus dan adil, PAS boleh menang di negeri ini.

"Walaupun PAS berlawan di atas padang yang tidak sama rata, insya Allah kita (PAS) akan menang kali ini.

"Kerusi-kerusi yang kita menang, undinya semakin meningkat, manakala di kawasan yang kita kalah, PAS sudah menang.

"Saya tidak boleh sebut berapa kerusi jumlahnya tetapi sambutan rakyat di mana sahaja di negeri ini terhadap PAS amat baik.

hadi awang "Di mana-mana saya pergi, sambutan bukan sahaja di kalangan peniaga, malah semua orang termasuk di kalangan pengundi muda," katanya ketika ditemui selepas kempennya menemui peniaga Pasar Kedai Buloh di kawasan parlimen yang ditandinginya Marang petang tadi.

Hampir semua peniaga yang berjumlah kira-kira 100 orang menyambut kedatangan Abdul Hadi pada jam 4 petang.

Presiden PAS itu kelihatan mengambil peluang bermesra dengan peniaga terbabit yang rata-rata golongan tua.

Seorang peniaga memberitahu, sebahagian besar peniaga di pasar itu adalah penyokong kuat PAS sejak sekian lama.

Ketika ditanya kempen PAS di saat akhir, Abdul Hadi berkata, PAS berusaha menarik sokongan pengundi atas pagar dan golongan yang simpati kepada Umno.

Beliau juga mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir.

"BN boleh mengarahkan SPR mengikut kepentingan mereka walaupun sekarang ini (mereka hanyalah) kerajaan sementara.

"Ini membuktikan SPR tidak telus dan ini sekali gus menjejaskan imej kerajaan," katanya lagi.

Abdul Hadi berkata, PAS akan menunaikan semua janji yang dibuat dalam kempen pilihanraya kali ini apabila berjaya memerintah nanti.

PAS pernah memerintah Terengganu setelah memenangi pilihanraya umum 1999 tetapi tewas kepada BN dalam pilihanraya berikutnya.

Tinjauan Malaysiakini dalam kalangan peniaga terbabit, rata-rata mereka mahukan perubahan yang lebih pesat kerana pembangunan yang berlaku amat perlahan.

Peniaga kuih Salmah Deraman berkata, Kedai Buloh perlu imej yang baru dan bukannya ibarat "pekan koboi" seperti sekarang ini.

"Imej kotor dan mundur yang ada sekarang memalukan penduduk di kampung ini.

"Kegiatan ekonomi juga hampir mati - hanya aktiviti pertanian yang menjadi utama penduduk di sini.

"Tetapi kami mahukan aktiviti ekonomi secara menyeluruh supaya peluang pekerjaan lebih banyak dan taraf hidup rakyat meningkat," katanya.

Rakannya Abdullah Awang berkata, pengundi tidak kisah siapa menjadi calon tetapi memilih pemimpin yang boleh membantu rakyat.

Katanya, kerajaan yang kuat dan banyak wang sekalipun, jika tidak membantu rakyat, ia tidak berguna sama sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS