Kini timbul persoalan mengenai wakil parti pembangkang yang manakah bakal dilantik sebagai menteri besar Perak yang baru.
Sebelum ini dilaporkan bahawa setiausaha PAS Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin akan dilantik ke jawatan tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu pemberita semalam bahawa ada kemungkinan calon menteri besar dilantik dari PKR.
Dalam pilihanraya umum Sabtu lalu, pembangkang merampas Perak dengan majoriti mudah 31 daripada 59 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di mana DAP menang 18 kerusi PKR (7) dan PAS (6).
"DAP memenangi kerusi DUN terbanyak di Perak tetapi mereka berpendapat, bagi memastikan kelicinan proses peraliahan, kita menimbang untuk melantik MB Melayu dengan penyertaan orang Cina dan India," katanya.
Ditanya sama calon MB dilantik dari PKR, Anwar berkata: "Ada kemungkinan dan kita akan bincang mengenainya".
Difahamkam, DAP difahamkan memberi jawatan menteri besar Perak kepada PKR manakala DAP pula akan mendapat peruntukan tujuh jawatan exco. PAS dan PKR masing-masing akan mendapat dua jawatan exco.
Menjawab soalan, Anwar berkata tiada sebarang usaha dilakukan setakat ini untuk melobi wakil rakyat Barisan Nasional menyertai barisan pembangkang.
