Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan mahu jumpa PAS, DAP dulu
Diterbitkan:  Mar 10, 2008 9:09 PM
Dikemaskini: 6:21 PM

Pembentukan kerajaan baru dan pelantikan Menteri Besar Selangor akan diputuskan selepas wakil PAS dan DAP mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok, kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani.

Beliau berkata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyembah maklum kepada baginda petang ini mengenai keputusan pilihanraya umum Selangor Sabtu lalu dan penubuhan kerajaan baru.

sultan sharafuddin idris "Namun demikian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah bahawa baginda akan memanggil menghadap parti-parti lain yang berkenaan sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya selepas Abdul Khalid mengadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam petang tadi.

Bernama memetik Mohamad Munir sebagai berkata berkata, istiadat pelantikan menteri besar akan ditetapkan dalam tempoh masa terdekat setelah mendapat perkenan baginda.

Sementara itu, Abdul Khalid yang mengadap baginda petang tadi di Istana Bukit Kayangan berkata kedua-dua wakil parti itu dititahkan menghadap Tuanku esok.

"Tuanku menitahkan wakil PAS menghadap pada jam 2.30 petang sementara wakil DAP diminta mengadap pada jam 3.30 petang," katanya kepada pemberita di Istana Bukit Kayangan.

Pakatan pembangkang DAP, PAS dan PKR yang memenangi 36 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihanraya umum Sabtu lalu telah mengumumkan semalam bahawa Abdul Khalid dicadangkan untuk menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar yang baru.

Tunggu keputusan

Abdul Khalid berkata selepas perjumpaan itu, Sultan Selangor akan membuat keputusan dibantu oleh penasihat diraja dan wakil daripada pejabat setiausaha kerajaan negeri untuk membolehkan upacara pelantikan menteri besar diadakan.

"Tuanku merasakan adalah perlu bagi Tuanku untuk menentukan gabungan PAS, PKR dan DAP sesuai untuk memerintah negeri Selangor sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Beliau berkata beberapa hari selepas pertemuan baginda dan wakil-wakil itu, barulah beliau akan dimaklumkan tentang pelantikan menteri besar serta memberikan senarai nama-nama exco kerajaan negeri untuk diteliti dan diperkenankan.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata tiada usaha-usaha untuk memusnahkan dokumen-dokumen di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan beliau berpendapat jika ada pun usaha itu ia tidak mampu untuk dilaksanakan kerana rekod-rekod yang ada bukan satu tetapi banyak.

"Kalau kita andaikan semua orang tak betul tidak boleh...sebaliknya kita perlu mengandaikan mereka menggunakan ia untuk tujuan yang baik," katanya.

Abdul Khalid berkata untuk mentadbir sesebuah negara memerlukan pandangan yang positif walaupun daripada politik yang berbeza kerana ia dapat menggambarkan kematangan negara itu.

ADS