DAP, yang menguasai pengundi di pusat utama bandar, menang besar; manakala penduduk pekan kecil dan pinggir bandar pula memilih calon-calon Melayu.
Arus deras penolakan ini hampir-hampir memberi kemenangan lebih besar di Perak - tiga kerusi dimenangi BN dengan majoriti bawah 100 undi, termasuk yang dimenangi bekas orang kuat kelab penyokong kerajaan (BNBBC) Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (66 undi).
Faktanya, orang bandar dibantu pengundi Melayu di pinggir bandar berani membuat perubahan politik pada 8 Mac, dan sekali gus sama-sama mencipta sejarah baru.
Kemenangan di kawasan bandar ini mungkin menunjukkan pengaruh besar media baru seperti blog dan laman web politik dalam percaturan undi parti-parti bertanding.Jika laman web reformasi menggoncang pilihanraya umum 1999, blog politik, yang hanya terbentuk secara lebih sistematik pada 2006, pencetus gegaran besar menjelang 8 Mac.
Selama ini pengundi Melayu dan bukan Melayu tidak menunjukkan trend yang sama.
Pada 1999, Melayu marah pada Umno atas sebab pemecatan dan penghinaan kepada bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini pengundi bukan Melayu pula menunjukkan keberangan mereka.
Pada tahun itu, gerakan demonstrasi dan bahan bacaan politik tertumpu di Lembah Klang, lebih separuh majalah dan buku politik terjual di Kuala Lumpur, menjadi pusat kegegaran hingga menjatuhkan Terengganu.
Kali ini pusat gegaran bermula di Kuala Lumpur melalui gerakan Hindraf dan kemudian terasa di Pulau Pinang tetapi di hujungnya membawa kesan besar ke seluruh pantai barat Semenanjung, termasuk ke Negeri Sembilan dan Johor.(lihat jadual sebelah kanan, peratusan kemerosotan undi BN tahun ini berbanding 2004 bagi setiap negeri di Semenanjung).
Sebanyak 15 daripada 36 kerusi di negeri adat pepatih beralih kepada pembangkang, sebahagian besarnya di bandar utama, di pinggirnya dan pekan.
PAS sendiri menang satu kerusi negeri bawah parlimen Rembau yang dimenangi naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Gegaran sampingannya terasa di Johor dan Melaka, juga Pahang. PAS yang tidak pernah dikaitkan dengan negeri kelahiran Umno, kali ini menang di dua kerusi negeri, Maharani dan Sungai Abong.
DAP pula menguasai kerusi-kerusi Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai.
Di Melaka, pembangkang hanya mampu menawan lima DUN dan satu parlimen -- semuanya DAP. Tetapi gegaran itu menggugat dekat beberapa kerusi, misalnya parlimen Bukit Katil yang dimenangi BN dengan majoriti 27,252 undi pada 2004 kini hanya tinggal 1,758.
Calon PKR Khalid Jaafar, penasihat peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, meningkat undinya sebanyak 16,978.
Di Kuantan dan kawasan sebelahnya Indera Mahkota, PKR menang dengan fenomena yang menarik.
Fuziah Salleh, bekas ketua wanita PKR menang kerusi parlimen tetapi ketiga-tiga kerusi negeri bawah kawasan ini masih lagi kekal di tangan BN -- mengulangi corak pengundian di beberapa kerusi parlimen di Kelantan pada 2004 yang menyaksikan pengundi mengekalkan kerusi negeri kepada status quo tetapi menaikkan calon parti lain ke Dewan Rakyat.
Di pantai timur, walaupun Terengganu tidak menunjukkan sebarang kemajuan berbanding pilihanraya umum 1990, PAS berjaya meraih kerusi tradisinya di kawasan pinggir bandar - termasuk Ladang yang dulunya selalu menjadi kubu kuat BN (kecuali 1999) di parlimen Kuala Terengganu. Semua kerusi DUN parti itu terletak di tepi bandar Kuala Terengganu: Bukit Tunggal, Manir, Wakaf Mempelam, Bukit Payung, Batu Buruk dan Rhu Rendang. Malah Sura, satu daripada dua kubu PAS bawah parlimen Dungun, adalah pekan dan pusat pentadbiran daerah tersebut.
Di Kelantan, kerusi-kerusi parlimen dan DUN yang dikuasai PAS semuanya di lembah perbandaran dan pinggir bandar Kota Bharu seperti Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian.
Begitu juga Kedah, sebuah lagi negeri yang menjadi lubuk PAS, empat daripada lima kerusi DUN yang mampu dipertahankan ketika dilanda arus deras 2004 semuanya di pinggir atau dekat Alor Star.
Bukit Pinang, Anak Bukit dan Tokai - masing-masing mempunyai 92.4 peratus, 88.6 peratus dan 90.2 peratus Melayu - kini mendapat majoriti lebih besar, 3,300 undi ke atas. Tentunya dipengaruhi trend sokongan bukan Melayu, selain sedikit peralihan sokongan pengundi Melayu.
Sokongan kuat pengundi bukan Melayu di Lembah Klang, yang ditandingi calon-calon pembangkang Melayu, menunjukkan trend yang luar biasa.
Selain parlimen Titiwangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak (semuanya calon Melayu di kawasan berpengundi Melayu lebih 50 peratus), calon bukan Melayu atas tiket PKR boleh menang di Wangsa Maju - seperti kemenangan calon wanita PAS di Kota Raja.
Gabungan pengundi bandar, Melayu dan bukan Melayu, melonjak calon-calon pembangkang ini (kecuali di Kota Raja) menang walaupun dengan majoriti kecil.
Persoalan yang harus dijawab: Apakah yang menggerakkan amarah para pengundi bandar? Dari manakah maklumat politik mereka perolehi -- apakah mereka terpengaruh dengan blog politik dan laman web pembangkang?
Suara bukan Melayu kini semakin menonjol dan sangat menentukan arus politik, bagaimana pula orang Melayu menafsir perkembangan terbaru ini?