kemaskini 10pm Nasib naib presiden PAS Datuk Husam Musa, yang kembali tersenarai dalam barisan exco Kelantan, kini dalam tanda tanya besar apabila beliau dikatakan cuba diketepikan.
Daripada pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat pada penggal lalu, Husam ditawarkan portfolio yang lebih rendah - cuma mengurus, antara lain, hal-ehwal belia dan sukan.
Malaysiakini difahamkan mesyuarat untuk membahagikan bidang tugas exco negeri yang berlangsung pagi tadi terpaksa ditangguhkan akibat perebutan bidang kuasa exco di negeri kubu PAS itu.
Dalam mesyuarat awal itu, keputusan muktamad belum dibuat walaupun pengumuman barisan exco negeri dijangka diadakan esok.
PAS berjaya mengekalkan negeri itu dengan pertambahan undi yang lebih besar, menawan 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada pilihanraya umum 8 Mac lalu.
PAS memerintah negeri itu dengan kelebihan satu kerusi sahaja pada penggal lalu selepas pilihanraya kecil Pengkalan Pasir pada 2005 memihak kepada BN.
Menurut sumber PAS Kelantan, kedudukan Husam belum dapat dipastikan setakat ini.
Husam, ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, berkata ringkas "saya terima apa sahaja jawatan."
Beliau enggan mengulas lanjut isu beliau cuba dipinggirkan.
Awal malam ini, bagaimanapun, portfolio lama Husam dikembalikan kepadanya tetapi dengan tambahan untuk mengurus hal-ehwal belia dan sukan.
Namun, sumber itu menambah, perubahan kepada portfolio asalnya itu diketahui oleh penyokong Husam sekitar 7:30 petang tadi.
Sumber itu menambah, perubahan saat akhir ini tidak dapat dipastikan lagi sehingga barisan exco diumumkan esok.
Sumber itu bimbang akan ada lagi perubahan mendadak di luar jangka antara saat ini hingga esok.
Husam tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkembangan terbaru itu.
Malaysiakini difahamkan terdapat beberapa perubahan dalam bidang tugas exco kali ini berbanding penggal lalu.
Beliau yang diura-urakan sebagai pengganti Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan sering menghadapi persaingan sengit daripada beberapa pemimpin PAS negeri, termasuk dalam kalangan exco negeri.
Bekas setiausaha akhbar Nik Aziz itu juga gagal mendapat sokongan undi PAS Kelantan sewaktu muktamar parti itu di Kota Bharu tahun lalu.
Beliau bagaimanapun berjaya mengekalkan jawatan parti yang disandangnya sekarang dengan sokongan negeri-negeri lain.
