Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Angkat sumpah MB Perak ditangguh
Diterbitkan:  Mar 13, 2008 4:23 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Upacara mengangkat sumpah menteri besar bagi kerajaan campuran pembangkang di Perak telah dibatalkan.

Majlis tersebut dijadual diadakan pada jam 4 petang di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Penangguhan itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman di Istana Iskandariah.

Tiga calon jawatan menteri besar telah mengadakan perjumpaan dengan pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta di Ipoh petang tadi.

Manakala upacara angkat sumpah dijadual pada jam 4 petang di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Mahu jumpa semua Adun

Mesyuarat itu bermula jam 2.30 petang hingga 4.05 petang.

Sementara itu, difahamkan dalam perjumpaan dengan Raja Dr Nazrin Shah, wakil PKR, Jamaluddin Mohd Radzi, bagi pihak partinya, dikatakan telah mempertikaikan pemilihan Nizar sebagai menteri besar.

Ekoran itu, Malaysiakini difahamkan, Raja Dr Nazrin Shah telah mengarahkan mereka menyelesaikan terlebih dahulu isu pemilihan calon menteri besar itu, dan membatalkan upacara angkat sumpah hari ini.

Raja Dr Nazrin juga difahamkan mahu menemui kesemua 31 Adun dari DAP, PAS dan PKR untuk mendengar sendiri pendirian mereka masing-masing mengenai calon menteri besar.

Sementara itu, Istana Kinta dalam kenyataannya yang difakskan kepada Bernama memaklumkan bahawa penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor itu menyatakan Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya majlis angkat sumpah hari ini ditangguhkan.

Perkembangan terkini

"Berdasarkan perkembangan terkini, bahawa kelihatan DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam hasrat menubuhkan kerajaan yang stabil bagi negeri Perak Darul Ridzwan.

"Oleh itu Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja telah bertitah supaya angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang dijadualkan petang ini ditangguhkan,".

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan bila istiadat itu akan dilangsungkan.

Sementara itu, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata kesemua 31 Adun DAP, PKR dan PAS Perak hari ini diminta menandatangani surat persetujuan menubuhkan kerajaan campuran dan menerima

pelantikan Nizar sebagai menteri besar.

Katanya, Raja Dr Nazrin bertitah demikian kepada wakil tiga parti berkenaan yang menghadap baginda di Istana Kinta di Ipoh pada 2.30 petang tadi.

Menurut Nga, surat persetujuan berkenaan perlu dipersembahkan kepada baginda dengan menyatakan persetujuan bekerjasama dalam kerajaan campuran serta persetujuan sebulat suara menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.

Semalam kerajaan campuran DAP-PKR-PAS di Perak bersetuju untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang dari PAS, Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang baru.

Nizar juga merupakan setiausaha PAS Perak.

Salah faham selesai

Pengerusi DAP Perak, yang juga Adun Sitiawan, Ngeh Khoo Ham dan seorang wakil kaum India akan dilantik sebagai timbalan menteri besar satu dan dua.

Bagaimanapun, semalam DAP membantah pemilihan Nizar sebagai menteri besar apabila pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang berkata pihaknya hanya bersetuju calon DAP atau PKR dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, perkara itu nampaknya telah dapat diselesaikan dan Lim juga telah memohon maaf kepada Raja dan pemangku Raja Perak. Ngeh juga memberitahu pagi ini bahawa salahfaham itu telah diselesaikan.

Bagaimanapun, PKR pula membuat kenyataan mengejutkan bahawa parti itu akan keluar daripada kerajaan campuran di Perak jika agihan ahli exco tidak dibuat secara adil.

Difahamkan lapan daripada 10 jawatan exco diambil oleh DAP manakala baki dua kerusi diagih antara PAS dan PKR.

Pada awalnya, difahamkan, persetujuan telah dicapai di mana DAP mendapat enam jawatan exco dan masing-masing dua jawatan exco untuk PKR dan PAS.

ADS