Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Perlis yang tidak menyokong pelantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis akan dikenakan tindakan disiplin.

"Saya sebenarnya memberi dua pilihan kepada mereka. Pertama dikenakan tindakan (disiplin) atau keluar dari parti.

shahidan kassim "Ini keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), mereka mesti menyokong keputusan presiden parti (Umno)," kata Shahidan dalam sidang media di ibu negara malam tadi.

Sebelum itu, Shahidan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa BN Perlis yang turut dihadiri oleh ketua MCA dan MIC negeri.

Ketua badan perhubungan Umno Perlis itu menambah "jika tidak sokong, mereka bolehlah isytihar keluar BN.

"Saya beri mereka masa sehingga jam 5 petang ini. (Dan) saya telah menelefon Abdullah mengenai perkara tersebut.

"Katanya dalam kes ini, BN akan mengguna pakai peraturan Whip yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak."

Shahidan berkata demikian, dipercayai mengulas isu pelantikan beliau sebagai menteri besar Perlis yang tertangguh sehingga hari ini.

Penangguhan tersebut berlaku ekoran campur tangan pemimpin tertentu di Perlis yang tidak mahu Shahidan dilantik semula sebagai menteri besar.

Timbalan ketua perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidil Zainul Abidin, yang turut hadir di sidang media tersebut mendakwa setiausaha agung Umno Datuk Radzi Sheikh Ahmad mengumpul penyokongnya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Shahidan berkata, beliau akan menghadap Raja Perlis di Kuala Lumpur jam 12 tengahari hari ini untuk mendapatkan watikah pelantikan beliau sebagai menteri besar Perlis.

"Mereka yang tidak puas hati dengan pelantikan saya sebagai menteri besar Perlis boleh berjumpa parti (pucuk pimpinan).

"Jika mereka berdegil dan terus mahu menimbulkan masalah, saya akan memberitahu rakyat mereka yang munafik ini.

"Rakyat perlu tahu siapa yang munafik ini," kata Shahidan lagi.

Sementara itu, Shahidan merayu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Mukhriz memberi semangat kepada ahli-ahli Umno dengan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Katanya, ini kerana Abdullah merupakan perdana menteri yang dipilih sendiri oleh Dr Mahathir.

"Rakyat kini melihat BN seolah-olah merebut harta rompakan perang dan ini menyebabkan rakyat meluat dengan parti itu," kata Shahidan lagi.

ADS