Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis MB: Rakyat T'ganu diseru tenang
Diterbitkan:  Mar 18, 2008 5:53 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh meminta penduduk bertenang sewaktu negeri itu ketiadaan menteri besar susulan krisis pelantikan jawatan itu sejak 10 hari lalu.

Terengganu kini satu-satunya negeri yang gagal melantik menteri besar walaupun pilihanraya umum sudah 10 hari berlalu.

BN berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di negeri kubu PAS itu apabila meraih 24 daripada 32 kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) pada pilihanraya umum lalu.

"Saya minta rakyat bertenang, buat apa kita nak gopoh-gopoh sangat. Istana akan buat satu keputusan yang bijak... mereka lebih mengetahui (pelantikan menteri besar)," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melawat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) negeri itu Wan Ahzani Fadilah Wan Mahmud Khairi di rumahnya di Mengabang Telong di Kuala Terengganu hari ini.

Bernama memetik Idris sebagai berkata walaupun isu pelantikan menteri besar masih menjadi misteri, namun ia tidak banyak menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri yang setakat ini masih berjalan seperti biasa.

Beliau kelihatan ceria ketika meluangkan masa hampir sejam di rumah pelajar berkenaan.

Sehingga ini, katanya, beliau masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai upacara mengangkat sumpah jawatan tersebut dari pihak istana.

Di negeri yang dikuasai kembali BN, hanya Terengganu dan Perlis menghadapi masalah penubuhan kerajaan ekoran krisis mencari ketua kerajaan.

Bagaimanapun, Perlis berjaya menyelesaikannya semalam apabila ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Datuk Dr Md Isa Sabu mengangkat sumpah menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.

ADS