Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kecewa, rasuah di Kem. Pelajaran
Diterbitkan:  Mar 19, 2008 1:42 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Penerbit buku yang semakin pesat berkembang, melahirkan rasa kecewa dengan pelantikan semula Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas dakwaan rasuah makin berleluasa di kementerian itu.

Ainon Mohd, pemilik PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, menulis di lamanwebnya (www.universitipts.com) bahawa sejak Hishammuddin memegang kementerian itu "kes rasuah semakin menjadi-jadi".

Beliau, seorang penggiat sastera dan bekas pegawai Dewan Bahasa Pustaka, menulis hari ini:

"Gosip tentang rasuah di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bukan hanya melibatkan projek-projek buku oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), di Bahagian Buku Teks (BBT), dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK).

"Gosip-gosip juga mengatakan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan parah sekali di EPRD (Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan) kerana bahagian itu yang menguruskan projek-projek pembinaan sekolah-sekolah baru.

"Dikatakan pegawai-pegawai di bahagian itu dipaksa melantik kontraktor-kontraktor yang ditunjuk oleh orang politik."

Di laman yang sama semalam, penulis buku dan penterjemah terkenal itu mengalu-alukan pertukaran Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada portfolio baru - Kementerian Luar Negeri.

Dr Rais, dakwanya, mendapat tanggapan umum sebagai seorang yang suka berbelanja mewah.

Ainon berharap menteri baru di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal, akan lebih berhemat dalam perbelanjaan.

Menurut Ainon lagi, bajet pembelian buku-buku oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk perpustakaan awam di seluruh negara dipotong 60 peratus tahun lepas.

"Potongan yang begitu banyak telah mengejutkan dan mengecewakan para penerbit buku tempatan, yang lazimnya amat menunggu-nunggu pembelian pukal oleh PNM," tulisnya.

"Gosip-gosip mengatakan PNM terpaksa mengurangkan bajet pembelian buku sebanyak 60 peratus kerana wang itu sudah habis digunakan oleh Rais Yatim buat bermewah-mewah dengan pelbagai majlis dan acara pesta sambutan 50 Tahun Merdeka."

ADS