Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lima ahli parlimen Umno berontak?
Diterbitkan:  Mar 19, 2008 2:45 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Lima orang ahli parlimen Umno, termasuk seorang menteri dan tiga timbalan menteri, sedang "memberontak" kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, demikian menurut penulis blog yang tidak asing lagi Datuk Ruhanie Ahmad.

ruhanie ahmad Dalam blognya 'Kuda Kepang', bekas wakil Parit Sulong berkata beliau menerima satu panggilan telefon awal pagi ini mengenai perkara tersebut.

"Dua daripada ahli parlimen berkenaan dipercayai akan menolak pelantikan ke atas diri mereka yang diumumkan oleh Abdullah semalam, tetapi tidak akan mengosongkan kerusi parlimen mereka yang dimenangi dalam pilihanraya umum ke-12.

"Bagaimanapun, dua daripada mereka pula dijangka menolak pelantikan daripada Abdullah dan mungkin juga mengosongkan kerusi parlimen masing-masing," tulis Ruhanie.

Menurutnya, seorang daripada mereka dikatakan akan memutuskan selepas satu sidang akhbar di PWTC esok.

Dalam sidang akhbar tersebut, katanya, ahli parlimen tersebut akan mengumumkan sama ada akan mengosongkan kerusi parlimen dan melepaskan jawatannya dalam Umno.

Menurut Ruhanie lagi, mereka yang “memberontak” itu dikatakan menudingkan jari kepada menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, sebagai individu yang telah memanipulasikan senarai pelantikan kabinet yang diumumkan oleh Abdullah.

"Kata mereka, sebilangan besar muka-muka baru yang dilantik ke jawatan menteri penuh dipercayai adalah kroni-kroni Khairy," katanya.

Setakat ini hanya dua ahli parlimen Umno menolak pelantikan mereka ke kabinet.

Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, wakil Jerantut, dilaporkan menolak jawatan timbalan menteri luar dengan alasan beliau telah lama berkhidmat dan sewajarnya diberikan jawatan menteri.

Ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, pula menolak jawatan timbalan menteri pengangkutan - dilaporkan atas sebab yang sama.

ADS