Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Padah ISA buat penyebar SMS demo
Diterbitkan:  Mar 19, 2008 7:08 PM
Dikemaskini: 3:03 PM

Polis memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menyertai perhimpunan haram esok seperti yang diuar-arkan kerana ia boleh mencetuskan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Pemangku ketua polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid berkata kegagalan mematuhi arahan polis boleh menyebabkan mereka yang terlibat dikenakan tindakan mengikut Seksyen 27(5) atau 27(5)(a) Akta Polis 1967 iaitu menyertai atau mengadakan perhimpunan tanpa permit.

"Selain itu mereka juga boleh dikenakan tindakan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menimbulkan kekecohan kepada keselamatan negara," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Amaran sama turut diberikan kepada pihak tertentu dan orang ramai yang menyebarkan pelbagai SMS berkenaan perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan esok di Masjid Negeri di sini.

Difahamkan perhimpunan itu lanjutan demonstrasi yang diadakan Jumaat lepas di hadapan pintu masuk utama Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang mahu membebaskan pentadbiran negeri daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Mereka turut menuntut hak orang Melayu dikembalikan.

Perhimpunan yang turut dianggotai beberapa bekas exco kerajaan negeri itu berlangsung hampir sejam bermula pukul 2.30 petang selepas solat Jumaat dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di pusat bandar.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terus menyebar SMS dan setakat ini dua laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu dan kita sedang menyiasat dari mana SMS itu dihantar," katanya.

Salleh berkata perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana penganjurnya tidak memohon sebarang permit dan sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertainya.

"Hanya dua perhimpunan sahaja yang akan berlangsung esok iaitu Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Seberang Jaya pada sebelah pagi dan di Masjid Kapitan keling pada sebelah petang," katanya.

Beliau berkata 400 anggota dan pegawai polis akan ditempatkan di kedua-dua perhimpunan itu bagi memantau keselamatan.

"Kita juga mengambil langkah keselamatan lain termasuk menempatkan anggota kita di Masjid Negeri untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

ADS