Ahmad tidak jadi angkat sumpah MB

kemaskini 10:45am Terengganu berterusan tanpa menteri besar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, yang dipilih oleh pihak istana tidak mengangkat sumpah jawatan tersebut pagi ini.

Sebaliknya, beliau hanya menerima watikah pengisytiharan pelantikan sebagai menteri besar Terengganu yang baru - dipercayai akibat pemulauan 23 lagi wakil BN.

Watikah pengisytiharan tersebut diserahkan kepada beliau oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), dan juga adinda Sultan Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

ahmad said 230308Upacara angkat sumpah asalnya dijadual diadakan pagi tadi di Istana Tetamu, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, tarikh upacara itu belum ditentukan lagi - ada laporan menyebut dalam tempoh tiga hari dari hari ini, yakni Rabu.

Ahmad menerima watikah pada jam 8.15 pagi dan kelihatan meninggalkan istana pada jam 8.30 pagi, tanpa menemui pemberita.

Malam tadi, setiausaha agung BN dan Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan Ahmad bahawa beliau akan dikenakan tindakan disiplin Umno dan "menanggung akibat" jika menerima pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan tersebut.

Tengku Adnan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga presiden Umno, telah mengeluarkan surat cara pelantikan kepada Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri besar dan Ahmad tidak wajar melanggarnya.

Pejabat Sultan Terengganu semalam mengumumkan Ahmad, 51, dilantik menteri besar besar dan majlis mengangkat sumpah hari ini.

Menjelang keputusan istana itu petang semalam, kesemua 23 Adun BN Terengganu dalam satu sidang akhbar memberi amaran untuk memboikot majlis hari ini atas alasan tidak menyokong calon lain selain Idris.

Semua Adun, kecuali Idris, yang membantah pelantikan Ahmad sebagai menteri besar telah menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada MPPR pagi tadi.

Ia diserahkan oleh wakil mereka, Datuk Rosol Wahid yang juga setiausaha badan perhubungan Umno kepada setiausaha MPPR Shafie Ali pada jam 7.55 pagi.

Rosol mendakwa, upacara penyerahan watikah pelantikan Ahmad itu dibuat "secara rahsia" kerana mereka tidak dijemput menghadirinya.

Namun, katanya, kalau pun dijemput, mereka tetap akan memulaukannya.

Selain boikot, mereka juga merancang mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Rosol dalam sidang media semalam.

Ketika ditemui pemberita pagi ini, beliau memberitahu bahawa wakil-wakil rakyat berkenaan juga sedia meletakkan jawatan jika perlu berbuat demikian.

Bagaimanapun, apabila pemberita memberitahu mereka tidak boleh bertanding semula jika meletakkan jawatan, Rosol menjawab "tengok dulu".

Sementara itu, kira-kira 300 penyokong Umno Besut dilaporkan berhimpun di kediaman Idris sambil membawa kain rentang berbunyi "Kami sokong Datuk Seri Idris".


Terkini: Datuk Ahmad Said menghadapi risiko dilucutkan keanggotaan Umno akibat didakwa melanggar arahan presiden Umno, dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mahu meneruskan khidmat Datuk Seri Idris Jusoh bagi penggal kedua.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.