Sesiapa saja yang mendapat kepercayaan kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hendaklah dilantik sebagai menteri besar Terengganu seperti peruntukan Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam hal ini, katanya, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu juga terikat dengan peruntukan di bawah undang-undang tersebut.

ahmad said idris jusoh terengganuAbdul Gani berkata proses pelantikan menteri besar merupakan satu proses yang ditentukan oleh undang-undang sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan mengikut prinsip-prinsip demokrasi berparlimen, seseorang yang mendapat sokongan majoriti Adun hendaklah dilantik sebagai menteri besar.

"Dalam perkara ini, YB Dato' Seri Idris bin Jusoh mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 22 ahli Dewan Undangan Negeri," kata Abdul Gani dalam satu kenyataan malam tadi.
    
Abdul Gani berkata dalam hubungan ini, sekurang-kurangnya 22 daripada 32 orang Adun yang dipilih dalam pilihanraya umum 8 Mac lepas, telah pada 22 Mac menandatangani satu surat yang ditujukan kepada Pemangku Raja Negeri Terengganu Darul Iman dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, menzahirkan sokongan mereka kepada pencalonan dan pelantikan Idris sebagai menteri besar Terengganu.
    
Kenyataan empat perkara Peguam Negara itu berikutan pelantikan Adun kawasan Kijal Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja Negeri Terengganu Darul Iman pada semalam (23 Mac), demikian menurut laporan Bernama.

Nasihat perundangan 

Abdul Gani berkata surat itu telah dirujukkan kepada beliau dan beliau percaya bahawa Idris telahpun mendapat nasihat perundangan mengenainya.

"Apa-apa tindakan yang diambil hendaklah mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan," katanya.
    
Abdul Gani juga berkata menurut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kewajipan beliau sebagai Peguam Negara untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai apa-apa perkara undang-undang.

"Atas sifat yang sedemikian, saya akan memohon mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menjelaskan mengenai fakta-fakta yang telah dikemukakan kepada saya dan berkenaan dengan undang-undang yang berhubungan dengan perkara tersebut.
    
"Walaupun perkara ini adalah di bawah bidangkuasa Majlis Penasihat Pemangku Raja dan keputusan dibuat oleh majlis tersebut, saya berpendapat bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewajarnya dimaklumkan agar Baginda sedia maklum dan lebih jelas akan fakta dan undang-undang mengenai perkara ini," katanya.

Kelmarin, Adun Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai menteri besar baru Terengganu daripada Yang Dipertua MPPR, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu.

Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar itu bagaimanapun masih belum ditetapkan lagi.

Adun boikot

Seramai 22 lagi wakil BN, tidak termasuk Idris, menolak pelantikan tersebut dan memulaukan majlis angkat sumpah dengan alasan Idris mendapat sokongan majoriti dan paling layak.

Berikutan, setiausaha Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkat, Ahmad terlucut keahliannya dalam Umno kerana mengengkari arahan Umno Malaysia supaya tidak menerima watikah pelantikannya itu.

Pihak Umno, melalui setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengarah Ahmad supaya jangan menerima pelantikan tersebut kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga presiden Umno, telah mengeluarkan surat cara pelantikan kepada Idris.

Manakala perdana menteri pula dilaporkan berkata, pelantikan Ahmad sebagai menteri besar dilihat sebagai tidak mengikut perlembagaan.

"Semua Adun yang bilangannya agak besar itu tetap menyokong Datuk Seri Idris Jusoh. Itu satu perkara yang tidak ada perubahan dari segi sokongan.

"Dengan itu, maka sebarang lantikan yang dibuat terhadap orang lain itu, tidak kena dengan Perlembagaan," kata Abdullah semalam.