Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membawa kepada kabinet cadangan mengenai keperluan mengadakan pilihanraya bagi memilih anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat ini.
Menterinya yang baru, Datuk Ong Ka Chuan berkata kementeriannya akan mengumpulkan pandangan orang ramai mengenai perkara itu, sebelum membuat untuk diserahkan kepada kabinet untuk keputusan mutakhir.
Katanya, walaupun pilihanraya bagi memilih anggota PBT itu tidak pernah dijalankan sejak 40 tahun lepas, namun pihaknya sedia mendengar pandangan orang ramai mengenainya.
"Kita terima pandangan rakyat, dan keputusan mengenainya harus dibuat dalam masa yang terdekat," katanya selepas majlis penyerahan tugas di kementerian tersebut hari
ini. Ka Chuan menggantikan adiknya, Datuk Seri Ong Ka Ting, yang presiden MCA.
Ditanya mengenai kemungkinan terdapat perubahan dalam peruntukan kepada PBT di negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional, Ka Chuan berkata, perubahan pasti ada.
"Bagaimanapun kita belum tahu hingga setakat mana, namun mesti ada satu penyelarasan dan perkara ini perlu dirujuk kepada kabinet," katanya tetapi memberi jaminan sebarang perubahan akan menjejaskan kepentingan rakyat.
Bernama juga memetik Ka Chuan sebagai berkata beliau akan meneruskan dasar dan budaya kerja yang digunapakai kementerian berkenaan sebelum ini.
Menurutnya, perkara utama yang diberi perhatian ialah sistem penyampaian perkhidmatan kementerian kepada rakyat.
Ka Chuan turut ditanya sama ada cakap-cakap mengenai nepotisme memberi sebarang kesan terhadapnya, lebih-lebih lagi selepas beliau dilantik menggantikan adiknya.
"Lebih baik saya beri tumpuan kepada kementerian ini menerima tugas hari ini," jawabnya.
