Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir patut mohon maaf kes Salleh
Diterbitkan:  Mar 24, 2008 8:02 PM
Dikemaskini: 7:47 PM

Pengerusi DAP Karpal Singh mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi membuka semula kes pembentukan dua buah tribunal yang membawa kepada pemecatan ketua hakim negara dan penggantungan jawatan lima hakim Mahkamah Agung pada 1988.

Terma rujukan suruhanjaya itu - untuk menentukan sama ada dua buah tribunal yang dibentuk itu mempunyai asas dan latar perundangan yang cukup, katanya.

Beliau membuat desakan itu dalam satu sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini sebagai mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim - menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik bertanggungjawab menangani hal-hal berkaitan undang-undang dan reformasi kehakiman - supaya kerajaan sekarang memohon maaf kepada Tun Salleh Abbas.

Selain Salleh, lima hakim kanan yang menjadi mangsa krisis itu: Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh and Datuk George Seah.

Peguam terkenal itu juga berkata, cadangan Zaid meminta kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memohon maaf bukan langkah yang betul.

Sebaliknya, kata beliau, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya memohon maaf.

Beliau berkata suruhanjaya yang disarannya itu hendaklah juga menentukan sama terdapat salah laku di pihak Dr Mahathir dalam mengguna pakai artikel 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Insiden pemecatan Salleh dan hakim-hakim kanan itu sering dirujuk sebagai permulaan terhakisnya kepercayaan ramai terhadap integriti dan kredibiliti badan kehakiman negara.

Dr Mahathir mengarahkan Salleh dan hakim-hakim itu dihadapkan ke tribunal khas selepas bekas ketua hakim itu menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, mendakwa wujud campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman.

Surat itu susulan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dianggap menghakis kebebasan dan kemandirian badan kehakiman.

Hakim-hakim itu pula dihadapkan ke satu tribunal apabila mereka tidak bersetuju dengan tindakan kepada Salleh.

Pada 2006, Zaid yang ketika itu anggota parlimen bagi Kota Bharu mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya menyemak semula kes tersebut.

ADS