Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 8:15pm Pemuda PAS menggesa polis menyiasat kain rentang, menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Idris Jusoh, yang didakwanya boleh dianggap membawa maksud menghina institusi raja.

pas youth pc 250308 natang banner Menurut pergerakan itu, kain rentang itu dipamer di depan kediaman bekas menteri besar Terengganu itu dan beberapa tempat strategik di bandar itu.

Kain rentang itu berbunyi "Kami nak Idris, natang", yang bermaksud "kami hendak Idris, binatang" dalam loghat Terengganu.

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata tulisan di kain rentang ini bersifat hasutan dan siastan segera perlu diambil untuk mengelak kejadian tidak diingini.

"(Kain rentang) ini tidak patut berlaku ... Ini sangat serius," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini, sambil menunjuk dua keping foto (atas dan bawah) .

"Isu campur tangan politik ke atas institusi Sultan dan Raja-Raja Melayu boleh memudaratkan keselamatan negara dan perpaduan rakyat."

pas youth pc 250308 natang banner 02 Beliau mengulas bantahan kumpulan penyokong Idris terhadap pelantikan menteri besar baru Datuk Ahmad Said oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Ahad lalu.

Seramai 23 wakil rakyat BN, termasuk Idris, memboikot majlis angkat sumpah yang asalnya dijadual pada hari itu di Istana Tetamu, Kuala Terengganu.

Pemulauan itu dipercayai mendorong majlis tersebut ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan.

Salahuddin mengarahkan Pemuda PAS dan pakatan pembangkang di Terengganu membuat laporan di setiap ibu pejabat polis daerah (IPD) petang ini berhubung kain rentang itu.

Difahamkan, kain rentang berwarna putih dengan tulisan merah itu, antaranya, digunakan oleh beberapa penyokong Idris yang berkumpul di kediamannya pada Ahad lepas.

Bagaimanapun perkataan "natang" itu tidak jelas - sama ada ditujukan kepada pihak istana, Ahmad atau pihak-pihak lain.

Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, berkata istilah tersebut "terbuka untuk pelbagai tafsiran."

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Salahuddin berkata beliau belum mendapat maklumat jumlah aduan polis yang dibuat setakat ini.

Di sidang media itu, beliau berkata siasatan polis bertujuan mengenal pasti dalang yang memasang kain rentang dan poster yang berunsurkan menghasut dan penghinaan kepada institusi Raja-raja Melayu.

"Saya mendapat tahu poster ini banyak direntang di Terengganu. Kita mahu polis siasat supaya tidak berlaku yang tidak baik," katanya.

pas youth pc 250308 salahuddin ayub Beliau berkata, di negara ini, ada kuasa untuk Yang di-Pertuan Agong dan ada kuasa untuk Eksekutif, bagaimanapun kedua-duanya perlu beriringan demi perpaduan.

Salahuddin, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, jika muncul perasaan tidak berpuas hati kepada Sultan, pihak-pihak tertentu masih ada ruang untuk menyuarakannya.

"(Dan) bukannya melalui campur tangan politik. Umno pada suatu masa (mendakwa) pejuang Raja Melayu tetapi suatu masa lain menentang Raja," katanya lagi, sambil menambah PAS menerima sistem pentadbiran yang ada hari ini.

Ketika ditanya sama ada keputusan MPPR mengeluarkan watikah pelantikan kepada Ahmad sebagai satu bentuk campur tangan Istana dalam politik, Salahuddin berkata: "institusi Sultan tidak campur tangan.

"Saya rasa istana telah memainkan peranan sebagai semak dan imbang (check and balance)".

"Raja mula menunjukkan keprihatinan. Baginda mahu kualiti dan mereka yang bersih. (Dan) dalam kes ini Sultan ada penasihat undang-undang sendiri," katanya.

Ditanya sebab Sultan Terengganu tidak memperkenan Idris, Salahuddin berkata beliau fiikir pihak istana tidak meyakini kepemimpinan Idris.

"Orang kampung pun sudah tahu siapa Idris." katanya.

Krisis pelantikan menteri besar Terengganu bermula selepas majlis angkat sumpah Idris di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 10 Mac ditangguhkan.

Calon-calon pengganti Idris bagaimanapun tidak diumumkan sehingga 14 hari kemudian apabila pejabat Sultan Terengganu menamakan Ahmad untuk jawatan itu Sabtu lalu.

Majlis angkat sumpahnya, yang dijadual kelmarin, ditangguhkan - dipercayai akibat pemulauan 23 Adun BN yang diketuai oleh setiausaha badan perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid.

Kumpulan wakil rakyat BN itu menegaskan Idris satu-satunya calon yang layak untuk jawatan tersebut kerana mendapat sokongan majoriti dan surat sokongan daripada Perdana Menteri.

ADS