Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siswa: Pindaan AUKU propaganda BN
Diterbitkan:  Mar 26, 2008 1:13 PM
Dikemaskini: 5:10 PM

kemaskini 11:05pm Parti Mahasiswa Negara (PMN) ragu-ragu dengan hasrat menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mengkaji dan menggubal semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"(Isu ini) tidak lebih sebagai propaganda Umno dan BN untuk membuktikan bahawa mereka telah bersedia melaksanakan perubahan dan cuba untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas dominasi parti-parti alternatif," kata presiden penajanya Azlan Zainal.

"Sebab itu mereka sengaja menguar-uarkan propaganda tersebut melalui kajian responden secara SMS dalam Buletin Utama TV3 (semalam).

soh sook hwa vs uuca suit 060207 assembly "Sebenarnya kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana AUKU telah lama ditentang oleh mahasiswa."

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata dua bekas menteri berkenaan Datuk Dr. Shafie Salleh dan Datuk Mustapa Mohamed pernah menyatakan hasrat sedemikian tetapi tidak membawa sebarang perubahan.

"Adakah mereka benar-benar mahu memberi kebebasan mahasiswa dan autonomi kampus atau sebenarnya ada tujuan lain?" tambahnya.

Saranan pindaan itu juga, kata Azlan lagi, kerana kerajaan mula menyedari bahawa AUKU boleh menghalang secara tidak sedar usaha BN mendekati mahasiswa.

"Berdasarkan maklumat dalaman yang kami terima dari Biro Tatanegara (BTN) dan kementerian sendiri, salah satu kekalahan besar Umno dan BN berpunca (tindakan) generasi muda yang tidak memberi undi kepada parti itu dalam pilihanraya umum baru-baru ini," katanya.

"PMN berasa jika AUKU digubal kali ini, tujuan sebenarnya hanya untuk memudahkan akses Umno dan BN ke atas mahasiswa, atau sekurang-kurangnya bertujuan menghalang parti-parti atau pertubuhan oposisi daripada mendekati mahasiswa."

Desakan pelajar

Sementara itu, Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) berkata sebelum ini, gabungan mahasiswa Malaysia berbilang kaum telah banyak kali membuat permintaan secara bertulis kepada Mustapa supaya satu perjumpaan diadakan untuk membincangkan isu kekangan AUKU.

"Tetapi yang amat dikesali, beliau tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan gabungan mahasiswa sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai menteri.

forum on uuca  090605 poster "Atas desakan positif dan tekanan para mahasiswa dan masyarakat, akhirnya pada Julai 2006, pihak Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan sikap terbuka, dengan mengatakan AUKU 1971 akan dipinda dan akan dibentangkan di parlimen pada bulan September tahun yang sama," kata setiausaha hal-ehwal antarabangsa Dema, Ong Jing Cheng dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, ia sering ditunda dan Mustapa tidak mengemukakan kertas kerja semakan tersebut dalam keempat-empat kali sidang parlimen (September dan November 2006, juga pada Julai dan September 2007).

"Kami menyeru menteri dan timbalan pengajian tinggi yang baru agar tidak mengikut jejak bekas menteri tersebut," tambahnya.

Di samping itu, Dema juga meminta pusat pengajian tinggi membuat penilaian semula terhadap Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010, untuk mengelak pendidikan negara daripada pengkomersialan.

Ong berkata, ini kerana pelan tersebut menggalakkan universiti tempatan supaya bekerjasama dengan syarikat untuk memasarkan produk kajian dan menambah sumber kewangan.

"Hubungan ekonomi begini akan mengakibatkan pelajar dan ahli akademik mengubah hala tuju dan intipati kajian akademik.

"Ini akan menjejaskan nilai teras akademik dan menyebabkan ahli akademik mengabaikan pengajaran dan pembelajaran akibat terlalu ketagihan dalam membuat kajian.

"Secara tidak langsung ia akan menjejaskan kualiti pelajar," tegasnya.

ADS