Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo bertemu atas satu pentas umum - sejak beberapa tahun - bagi mengulas kekalahan teruk Umno dan BN dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Bersama ketua penerangan Umno Johor Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi, mereka akan bercakap di forum 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian' minggu depan.

Turut serta dalam perdebatan yang dijangka hangat itu, sebagai permulaan kempen menjelang pemilihan agung Umno tahun ini, exco Pemuda Umno yang lantang Datuk Mukhriz Mahathir.

Acara anjuran sekumpulan penyokong Umno itu akan diadakan jam 9 pagi di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April.

Menurut penganjurnya MyKmu.net, forum itu akan dipengerusikan bekas editor kanan kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Talib.

Dr Mahathir dan anaknya itu mendesak presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sejurus selepas tamatnya pilihanraya itu.

Sementara Mohd Khir, yang baru melepaskan jawatannya sebagai ketua badan perhubungan Umno Selangor, belum menyatakan pendirian terbuka tentang isu ini.

Beliau, yang tidak pernah dikaitkan dengan kumpulan Abdullah atau menantunya Khairy Jamaluddin, dijangka menjelaskan pendiriannya yang sebenar di forum ini.

Dr Mohd Fuad, yang baru memenangi kerusi parlimen Batu Pahat, pula dikenali seorang pemimpin yang terbuka dan lantang dalam mengulas isu-isu semasa berkaitan dengan kepentingan negara dan parti.