Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 10:15 pm Krisis pelantikan menteri besar Terengganu selesai hari ini apabila calon lantikan istana, Datuk Ahmad Said, mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Tiada seorang pun (ahli MT) yang bantah," kata seorang anggota majlis itu Datuk Abdul Rahman Bakar kepada Malaysiakini , sejurus sebelum presiden Umno mengumumkannya.

abdullah supreme council 02 Susulan itu, kata ketua bahagian Marang itu, presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan bekas menteri besar Datuk Idris Jusoh menerima pelantikan Ahmad.

Wakil rakyat Kijal itu menerima watikah pelantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Ahad lalu tetapi gagal mengangkat sumpah, seperti jadual asal, apabila istiadat itu dipulaukan oleh 23 lagi wakil BN.

Kumpulan 22 wakil rakyat BN itu mahu mengekalkan Idris, antaranya, dengan alasan beliau mendapat dukungan majoriti dan sokongan Perdana Menteri.

Idris, sebagai ketua perhubungan Umno negeri, hadir bersama Abdul Rahman dan ketua Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Majlis Tertinggi dianggotai 52 orang pemimpin Umno.

Dalam sidang medianya tadi, Abdullah berkata keutamaan Umno negeri itu adalah untuk melantik barisan ahli majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri secepat mungkin.

muhyiddin supreme council 02 Abdullah juga menafikan keputusan MT menerima Ahmad sebagai "memalukan" beliau dan parti.

Keputusan MPPR akan diterima oleh Idris dan 22 penyokongnya itu, tambah Abdullah.

Mesyuarat itu, yang diadakan di ibu pejabat Umno mulai pukul 3 petang, berlangsung lebih empat jam. Ia diadakan kali kedua selepas tamat pilihanraya umum 8 Mac.

Abdullah juga mengumumkan Ahmad sebagai menteri besar dalam sidang medianya tadi.

Idris, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan 22 wakil rakyat yang menyokongnya, gagal dikesan.

Kumpulan lebih 10 wartawan berada di luar bilik pertemuan itu di tingkat 38 bangunan ibu pejabat Umno menunggu selama tiga jam sehingga pukul 10 malam.

Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah dilaporkan sedang menyiasat penyelewengan seorang ahli politik Terengganu yang membabitkan tiga projek di Kijal dan Chukai, kedua-duanya di Kemaman.

Polis negeri pula menyatakan sebanyak 26 aduan diterima sepanjang krisis pelantikan menteri besar tetapi hanya empat kertas siasatan dibuka, antaranya kain rentang bertulisan "Kami nak Idris, natang".

ADS