kemaskini 1:02am Menteri besar baru Terengganu Datuk Ahmad Said akan mengangkat sumpah jawatan itu pada Ahad ini selepas beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Semalam, keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memperakui keputusan istana melantik Ahmad awal minggu ini telah berjaya menamatkan krisis jawatan itu - yang diperebutkan antara beliau dengan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.
Pemilihan senarai barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri akan ditentukan dalam tempoh lebih kurang seminggu, kata Ahmad hari ini.
"Barisan exco kerajaan negeri akan dilantik dalam tempoh seminggu hingga 10 hari selepas majlis angkat sumpah," katanya seperti laporan Bernama lewat malam ini.
"Saya akan berbincang dan mendapatkan pandangan daripada bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh."
Mengulas tentang bekas menteri besar itu, Ahmad dilaporkan berkata: "Tidak ada masalah kerana dia (Idris) pemimpin hebat, dia sahabat dan belajar pun satu universiti, saya juga ada bersalaman dan bercakap dengan beliau di Putrajaya dua tiga hari lepas.
"Kami tidak pernah bermusuh dan jika ada pihak yang kata saya bermusuh dengan beliau, itu perkara tak betul."
Katanya, perbincangannya dengan Idris nanti untuk mengenal pasti wakil-wakil rakyat yang berkelayakan membantunya mentadbir negeri.
Ahad lalu, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik Ahmad sebagai pengganti Idris - tetapi majlis angkat sumpah ditunda akibat pemulauan 22 lagi wakil rakyat BN, tidak termasuk Idris, yang menyatakan sokongan kepada pengerusi BN negeri itu.
Ahmad hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR dalam suasana politik yang tidak menentu susulan krisis jawatan tersebut yang berlarutan sejak majlis angkat sumpah Idris bagi penggal kedua dibatalkan 10 Mac lalu.
BN kembali menguasai Terengganu apabila mendapat 24 daripada 32 kerusi tetapi istana tidak memperkenan Idris meneruskan khidmatnya.
Majlis angkat sumpah beliau di Istana Maziah, Kuala Terengganu dibatalkan secara tiba-tiba.
Beliau juga gagal menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Terengganu, di Kuala Lumpur untuk menyerahkan senarai barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri sehari sebelum majlis tersebut.
Ahmad pulang ke rumah ibunya di Teluk Kalong petang ini dari Putrajaya.
Menurut laporan agensi itu lagi, Ahmad berkata beliau tidak berdendam kepada wakil-wakil BN yang sebelum ini menentang perlantikannya.
"Saya tidak salahkan mereka, dan saya faham mereka bertindak begitu kerana situasi yang terpaksa mereka hadapi.
"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (yang) senior adalah sahabat-sahabat lama saya, ADUN yang baru pula akan jadi sahabat saya atau mungkin ada yang mengenali saya.
"Jadi saya awal-awal lagi sudah memaafkan mereka kerana mungkin suasana yang berlaku ketika itu menyebabkan mereka sebagai ahli politik baru, terpaksa bertindak demikian," beliau dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat pulang ke Terengganu pagi esok - dijangka dengan sambutan besar-besaran penduduk yang dianjurkan badan-badan bukan kerajaan.
