Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ribuan sambut Agong di T'ganu
Diterbitkan:  Mar 29, 2008 8:30 AM
Dikemaskini: 1:41 PM

kemaskini 4:20pm Puluhan ribu penduduk berada di lapangan terbang Kuala Terengganu bagi menyambut berangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Terengganu pagi ini.

Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu, disambut oleh menteri besar baru Datuk Ahmad Said.

Lapangan terbang itu, yang sedang dalam projek penaikan taraf, menjadi sesak dan gema laungan "Daulat Tuanku" kedengaran sahut-menyahut apabila baginda mula kelihatan kira-kira 10.30 pagi.

Laungan itu mula kedengaran sebaik sahaja pesawat baginda, yang ditemani Pemangku Raja Terengganu, sampai pada 10 pagi.

Mereka yang berada di luar terminal membawa bersama sepanduk dan riben kuning - sebahagian besar berbaris di sepanjang jalan menuju ke lapangan terbang itu, sejauh lebih satu kilometer.

Dianggarkan lebih 25,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya beberapa kilometer ke arah lokasi perhimpunan.

Jambatan Sultan Mahmud, yang menghubungkan lapangan terbang ke pusat bandar dilaporkan sesak teruk.

Turut kelihatan di majlis itu, setiausaha perhubungan Umno Datuk Rosol Wahid yang menjadi jurucakap utama kumpulan 22 wakil rakyat BN yang menyokong bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.

Semua wakil rakyat BN yang menentang Ahmad pada awalnya hadir dan bersalaman dengan Tuanku Mizan.

Idris, yang pulang ke kediaman asalnya di Besut semalam, bagaimanapun tidak kelihatan bersama wakil-wakil BN yang hadir.

Penduduk Terengganu berkumpul seawal jam 6.30 pagi bagi menyertai sambutan itu yang dianjurkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) negeri itu, antaranya Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Pengerusi Mampat Mohamad Fauzi Abu Samah memberitahu Malaysiakini petang tadi, beliau menganggarkan kira-kira 50,000 orang rakyat Terengganu berkumpul di kiri dan kanan jalan utama dari lapangan terbang antarabangsa Sultan Mahmud ke arah Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud.

Tuanku Mizan kelihatan melambai-lambai dari dalam kereta baginda yang dipandu perlahan-lahan menyusur barisan orang ramai.

Baginda tiba jam 10 pagi untuk menyertai acara sukan berkuda Malaysian Endurance Circuit 2008 di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Setiu.

Tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.

Perhimpunan pagi ini dianjurkan sebagai menyatakan sokongan kepada baginda susulan krisis perebutan menteri besar antara kumpulan Idris, yang didukung Perdana Menteri, dengan Ahmad yang dilantik oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR).

Krisis tidak menentu selama hampir tiga minggu itu tamat kelmarin apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memperakui lantikan Ahmad.

Sementara 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pada awal setia bersama Idris mengalihkan sokongan kepada pilihan MPPR itu semalam.

Mampat bersama beberapa NGO, termasuklah persatuan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Sulaiman - tempat baginda mendapat pendidikan, memulakan kempen mereka sejak beberapa hari lalu.

Ribuan pelekat kereta "Daulat Tuanku" dan riben kuning, warna simbol diraja, diedarkan kepada orang ramai.

Kain-kain rentang "Daulat Tuanku" juga dipasang di pinggir-pinggir jalan utama.

Kelmarin, acara sembahyang hajat dan mengumpul tandatangan di sebuah masjid, disertai ribuan penduduk negeri itu.

ADS