Sebarang perubahan dan reform yang mahu dilakukan oleh Umno kini mesti mengambilkira pandangan semua ahli, termasuk ahli biasa di peringkat cawangan, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Katanya, in termasuk tuntutan ahli di semua peringkat supaya sistem kuota pencalonan untuk jawatan tinggi parti dimansuhkan.
Hishammuddin berkata pucuk pimpinan Umno mesti memperhalusi dan menimbang apa yang diluahkan serta diharapkan oleh ahli-ahli di semua peringkat.
Katanya, persepsi di mana suara mereka tidak didengar, disekat atau diambil mudah, perlu diatasi.
"Apa yang saya harapkan setiap keputusan ini akan diterjemahkan dengan rasa penuh tanggungjawab dan jujur kepada apa jua kesan daripada hasil keputusan kita kelak," kata dalam satu kenyataan semalam.
Bernama memetik Hishammuddin sebagai berkata, keputusan pilihanraya umum yang lepas telah menuntut semua peringkat parti itu supaya bermuhasabah diri dan menerima realiti senario politik negara pada hari ini.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno akan akur dengan pendapat ahli mengenai sistem kuota yang dikenakan kepada calon jawatan tertinggi dalam parti itu.
Perlu berani
Beliau berkata, memandangkan sistem tersebut adalah pilihan ahli Umno dan dibentuk atas persetujuan ramai, maka jika hendak ditolak juga, ia mesti dipersetujui semua demi kebaikan parti.
"Kita perlu ingat, sistem kuota ini diterima dan diperkenalkan dahulu dengan tujuan untuk mengelak perpecahan dan keduanya untuk membolehkan hanya pemimpin yang difikirkan layak serta mendapat mandat suara akar umbi ditonjolkan bertanding.
"Pemuda akan tetap akur sekiranya hari ini ahli-ahli berpendapat bahawa sistem kuota yang ada sekarang tidak lagi memenuhi matlamat tersebut.
"Tetapi yang penting ahli-ahli perlu berani dan jujur untuk memilih serta menentukan siapa paling layak untuk memimpin parti keramat Umno ini," katanya.
Beliau mengulas cadangan beberapa pihak agar Umno memansuhkan sistem kuota yang memerlukan pencalonan daripada sekurang-kurangnya 60 bahagian bagi membolehkan seseorang itu bertanding jawatan presiden parti.
Hishammuddin berkata Pemuda juga telah membuat keputusan bahawa pemilihan parti kali ini tidak ditangguhkan dan telahpun ditetapkan pada 16 hingga 20 Disember depan.
