Sebaliknya, kata beliau yang paling penting ialah menukar sistem secara keseluruhan dalam kerajaan dan parti bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai.
Tambah Dr Mohd Khir, Umno dan BN telah mengalami krisis dan pertukaran kepemimpinan dalam tempoh 10 tahun sekali, bermula kekalahan teruk pada 1969 dan rusuhan kaum.
"Kerajaan boleh guna formula tahun 1969 iaitu memperkenalkan Mageran (Majlis Gerakan Negara) selepas Perikatan kalah di Kelantan, Perak dan Pulau Pinang yang akhirnya berlaku perubahan dalam politik dan kerajaan."Akibat kekalahan itu, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu ekonomi khususnya orang Melayu.
"Hari ini BN sedang mengalami krisis kerana orang tidak puas hati bukan sahaja terhadap kepimpinan parti dan negara tetapi juga kepada bidang ekonomi, pendidikan dan agama," kata Dr Mohd Khir ketika berucap di forum 'Umno pasca pilihanraya umum ke-12: Satu penilaian' di Hotel Singgahsana di Petaling Jaya hari ini.
Umno juga, katanya, membuat pertukaran kepemimpinan pada 1981 selepas krisis perpecahan PAS daripada BN, dan kemudian diikuti pertembungan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah dengan presiden waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Krisis dalam Umno muncul lagi, kata Dr Mohd Khir, pemecatan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan kemunculan gerakan reformasi dan kini parti itu berdepan krisis susulan ketewasan mengejut dan besar-besaran dalam pilihanraya umum lalu.
"Formula mana yang kita mahu guna? Formula 1969 atau formula 1999?" katanya lagi.
Dalam pilihanraya 1999, BN mengalami kekalahan teruk apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS dan parti itu mula membuka langkahnya ke Perak, Pahang, Perlis dan Selangor.
Di majlis tersebut, Dr Mahathir menyampaikan ucap utama dan sesi soal jawab selepas forum tersebut.
Manakala anak mantan perdana menteri itu, yang juga exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dan ketua penerangan Umno Johor, Datuk Fuad Zakarshi dua lagi ahli panel forum yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Dr Mohd Khir (foto: paling kiri) berkata, daripada 500 maklum balas yang diperolehi melalui blognya yang dibangunkan sejak tiga hari lalu, orang Melayu, Cina dan India tidak berpuas hati dengan DEB."Untuk itu, (kita) perlu membuat perubahan bukan sahaja dalam kerajaan dan parti tetapi juga membabitkan pendidikan dan ekonomi yang memberi kepuasan kepada semua orang," katanya lagi.
"Orang sudah hilang kepercayaan kerajaan dan parti (Umno)," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata, kepimpinan perlu mengambil tindakan untuk memulihkan semangat rakyat terhadap kerajaan dan parti.
Ketika ditanya peserta mengenai pemilihan calon-calon BN di Selangor dalam pilihanraya umum lalu, Dr Mohd Khir berkata, ia dibuat berdasarkan kelulusan dari enam jabatan kerajaan untuk memastikan benar-benar bersih dan layak.
"Saya (sebagai pengerusi BN negeri), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan setiausaha agung Umno (Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad) duduk untuk menentukan senarai calon.
"Walaupun ada pengaruh dari pihak tertentu, orang yang kita rasa boleh menang, kita kekalkan walau tidak disenangi oleh pihak tertentu.
"Kini mereka (yang cuba mempengaruhi calon) telah belajar dari kekalahan tersebut," katanya apabila ditanya sama ada naib ketua Pemuda Umno, dan menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin mempengaruhi senarai calon BN sehingga negeri itu berjaya ditawan pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.
Dr Mohd Khir juga berkata, menteri besar baru Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh menyiasat kepimpinan kerajaan BN Selangor semasa beliau menjadi menteri besar.
Katanya, mereka boleh siasat nombor akaun bank untuk melihat jumlah wang yang dimiliknya.