Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DUN S'gor: Permohonan Mano ditolak
Diterbitkan:  Apr 1, 2008 5:19 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan - yang kini ditahan di bawah ISA - untuk menghadiri upacara mengangkat sumpah wakil rakyat Selangor.

Menurut notis rasmi dari urusetia Dewan Undangan Negeri (DUN), majlis angkat sumpah kesemua 56 Adun Selangor akan diadakan pada 8 April depan.

m manoharan Dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP menang dengan majoriti 7,184 undi.

Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Star online melaporkan bahawa dalam satu kenyataan hari ini, Manoharan berkata KDN telah menolak permohonan isterinya, S Pushpaneela, berhubung perkara tersebut.

Permohonan tersebut dihantar oleh Pushpaneela pengarah kem tahanan Kamunting pada 21 Mac lalu.

Bagaimanapun, dalam jawapannya, pengarah kem berkenaan menolak permohonan tersebut.

Tiada sebarang sebab diberikan mengapa permohonan tersebut ditolak.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar pada hari Rabu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, untuk membatalkan perintah penahanan kelima-lima pemimpin Hindraf itu di bawah ISA.

ADS