Umno bahagian Gua Musang akan mengadakan satu mesyuarat khasnya pada Jumaat ini khusus bagi meluluskan usul untuk mendesak Majlis Tertinggi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) membincangkan prestasi buruk parti itu dalam pilihanraya umum lalu.
Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin, berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan ketua bahagian itu Tengku Razaleigh Hamzah bermula 10 pagi di pejabat Umno Gua Musang di Bukit Cekati.
Bernama memetik sumber sebagai berkata beberapa bekas menteri kabinet dan veteran Umno akan turut hadir di mesyuarat Jumaat ini.
Sebelum ini, Tengku Razaleigh dilaporkan berkata mesyuarat itu bagi membolehkan semua pihak termasuk akar umbi duduk berbincang mengenai sokongan rakyat kepada Umno.
Beliau juga pernah menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan presiden Umno pada perhimpunan agung penghujung tahun ini.
Tidak bincang
Sementara itu, Bernama juga melaporkan bahawa badan perhubungan Umno Kelantan tidak pernah berbincang mengenai hasrat Tengku Razaleigh untuk mengadakan perhimpunan agung khas dan untuk mencabar presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam perhimpunan agung pada 16-20 Disember.
Ketua penerangannya Datuk Alwi Che Ahmad berkata sebagai ahli parti, Tengku Razaleigh berhak berbuat demikian dan Umno negeri tidak akan campur tangan.
Tengku Razaleigh sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk mencabar Abdullah pada pemilihan tahun ini bagi memulihkan semula imej Umno yang tercalar dalam pilihanraya umum lalu.
Mengenai mesyuarat khas Jumaat ini, Alwi berkata Tengku Razaleigh mesti memikirkan soal masa depan Umno sebagai agenda utama.
"Apa pun yang Tengku Razaleigh buat itu mestilah untuk memantapkan Umno dan bukannya mempunyai kepentingan peribadi," katanya.