Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kini tersebar berita mengenai wujud sebuah kumpulan yang sedang bergerak cegas di semua peringkat, mempelopori reformasi dalam Umno, menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu Disember ini.

Malaysiakini difahamkan, gerakan ini ditunjangi barisan pemimpin Umno di peringkat akar umbi yang begitu kecewa dengan prestasi parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac.

BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen, apabila hanya mampu meraih 140 daripada 222 kerusi parlimen.

Barisan pembangkang memenangi 82 kerusi parlimen - PKR (31), DAP (28) dan PAS (23).

BN juga kehilangan tiga negeri yang dikuasai Umno - Kedah, Perak dan Selangor. DAP-PKR merampas Pulau Pinang daripada Gerakan dan PAS kekal menguasai Kelantan.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa barisan pemimpin peneraju kumpulan tersebut kecewa kerana Umno sudah hilang kekuatannya dan terpaksa bergantung kepada parti komponen BN di Sabah dan Sarawak untuk menang dalam pilihanraya umum kali ini.

Daripada 54 kerusi yang dimenangi BN di Sabah dan Sarawak, 42 kerusi dimenangi oleh parti-parti komponen lain daripada Umno.

'Najib lemah'

Umno sendiri kehilangan 31 apabila menang 78 kerusi parlimen, berbanding 109 kerusi pada 2004. Prestasi parti-parti komponen BN di Semenanjung juga buruk apabila MCA hanya menang 15 kerusi parlimen, Gerakan (2) dan MIC (3).

umno 2007 najib and umno 061107 Kumpulan ini juga difahamkan tidak senang dengan sikap timbalan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terlalu mementingkan kedudukannya dalam parti.

Menurut mereka, Najib tidak memainkan peranannya untuk menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara berkesan.

"Najib dilihat lebih mementingkan kedudukannya dalam parti, dan sering mengelak daripada mengulas apa-apa keputusan dan tindakan Pak Lah yang dilihat tidak baik untuk parti dan kerajaan," kata sumber-sumber yang rapat dengan gerakan tersebut.

"Kalau Pak Lah didakwa lemah dalam pentadbirannya, Najib lagi lemah kerana beliau tidak berani membuat teguran.

"Sebaliknya beliau dilihat lebih mahu menjaga supaya tidak kelihatan seperti melawan Pak Lah. Akibatnya, Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu," kata sumber-sumber itu lagi.

Di samping itu, tegas mereka, Abdullah tidak seharusnya 'berbangga' dengan pencapaian BN, khususnya Umno.

Punca alih sokongan

"Saya tidak faham mengapa Pak Lah kata BN masih kuat dan hanya kurang lapan kerusi (parlimen) untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

"Kalah sudah gagal mendapatkan majoriti dua pertiga, itu kalah teruk, kerana BN gagal menguasai Dewan Rakyat," kata sumber-sumber itu lagi.

Menurutnya, walaupun ramai pihak yang menyalahkan Abdullah, tetapi Najib juga tidak boleh "dilepaskan" daripada tanggungjawab tersebut.

"Sejak dilantik menjadi timbalan perdana menteri, Najib tidak kritikal langsung terhadap pentadbiran Abdullah, walaupun rakyat membantah seperti kenaikan harga minyak, kadar tol dan kos hidup yang semakin tinggi.

"Malah, sebelum pilihanraya umum lalu, tersebar berita bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak, kadar tol dan barangan lain selepas pilihanraya umum.

"Saya rasa ini merupakan punca utama rakyat memberi sokongan besar kepada pembangkang, kerana para pemimpin Umno sendiri, termasuk Najib tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Sebaliknya, tambah sumber-sumber itu, pemimpin Umno termasuk Najib mesti menasihatkan Abdullah tentang implikasi tindakan seumpama itu, tetapi sebaliknya turut "mendendangkan" irama sama, bahawa "barangan di Malaysia, termasuk harga petrol" masih terendah di dunia.

ADS