Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengurus rumah-rumah ibadat bukan Islam di seluruh Selangor, kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Jawatankuasa itu diketuai oleh tiga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar (Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin), Teresa Kok (Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan) dan Ronnie Liu (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan).

Jawatankuasa baru ini akan mengambil maklum balas daripada badan-badan agama bukan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu, antaranya lokasi dan kelulusan tapak rumah-rumah ibadat, kata Khalid lagi selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

ebor temple 02 Difahamkan langkah seumpama ini pertama kali diperkenalkan di Selangor - negeri yang sering menarik perhatian ramai berhubung isu merobohkan kuil dan surau, serta kontroversi penempatan gereja, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

Selain Dr Xavier dan Ronnie, turut hadir di sidang media itu pengerusi jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Dr Xavier berkata, jika ada permintaan untuk membina rumah ibadat baru, jawatankuasa akan mengkaji kewajaran pembinaannya.

"Jika kita mendapati permintaan tersebut munasabah, kerajaan akan meluluskannya," katanya.

Mesyuarat kedua exco negeri itu, selepas kemenangan pakatan pembangkang pada 8 Mac, dipengerusikan oleh Abdul Khalid selama kira-kira lima jam berakhir pada 4 petang.

Mesyuarat kali ini turut membincangkan janji-janji yang dibuat oleh parti-parti pembangkang kepada rakyat Selangor dalam pilihanraya umum lalu.

"Janji pilihanraya kita bincangkan secara terperinci dan akan ditunaikan secara berperingkat kerana yang penting ialah kebajikan rakyat Selangor," katanya.

khalid ibrahim selangor mb pc 260308 01 Dalam sidang media tersebut, Abdul Khalid berkata, beliau dan semua exco kerajaan negeri setuju untuk mengisytiharkan pemilikan aset setiap enam bulan kepada pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK).

"Pengisytiharan itu termasuk yang dimiliki oleh isteri dan anak mereka yang berumur 21 tahun ke bawah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya boleh membuat pengumuman maklumat yang umum sahaja kepada orang ramai mengenai pemilikan aset-aset tersebut.

Katanya, pihaknya perlu melihat di mana aset tersebut dan berapa nilainya.

"Badan Pencegah Rasuah (BPR), bagaimanapun boleh melihat secara mendalam mengenai perkara tersebut," katanya.

Dalam sidang media tersebut, Abdul Khalid juga mengumumkan kerajaan negeri tidak akan meluluskan lagi projek pembangunan di kawasan tanah tinggi yang melebih tahap kecerunan 25 peratus.

Bagaimanapun, katanya 141 projek yang telah diluluskan oleh pentadbiran BN penggal lalu akan diteruskan dengan pemantauan yang lebih ketat dan berterusan.

quartz hillslope land development 040305 Berikutan, katanya, Ronnie akan memanggil pihak berkuasa tempatan bagi mengetahui bagaimana hendak menyelesaikan masalah bantahan penduduk mengenai projek pembangunan di kawasan cerun bukit.

"Keputusan membatalkan projek di kawasan cerun adalah untuk kepentingan alam sekitar selain ia kebanyakannya merupakan kawasan tadahan air.

"Lagi pun, Selangor banyak lagi tanah untuk tujuan tersebut dan kawasan cerun itu boleh dihijaukan untuk tarikan pelancong," katanya lagi.

Abdul Khalid juga mengumumkan sebanyak 141 projek perumahan terbengkalai - sesetengahnya pembeli telah membayar sehingga 70 peratus daripada harga sebenar.

Katanya, beliau dan Iskandar akan menemui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Ada pembeli rumah yang telah datang ke kerajaan negeri yang meminta supaya projek yang terbengkalai itu diselesaikan," katanya.

ADS