Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hentikan spekulasi PM undur
Diterbitkan:  Apr 3, 2008 3:12 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Timbalan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menggesa ahli-ahli parti memberi fokus memulihkan parti itu dan tidak terbawa-bawa dengan kerancakan musim pemilihan agung tahun ini.

Gesaannya itu dibuat di tengah-tengah tekanan yang semakin kuat agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden Umno.

pak lah abdullah ahmad badawi putrajaya malaysia Najib juga mengulangi pendiriannya untuk terus menyokong perdana menteri sebagai pemimpin kerajaan dan parti.

Timbalan perdana menteri berkata Abdullah masih mendapat sokongan di peringkat kabinet dan anggota ahli parti untuk meneruskan kepimpinannya.

"Beliau memutuskan untuk meneruskan kepimpinannya dan berhak meneruskan kepimpinan," katanya seperti laporan Bernama hari ini.

Semalam, Abdullah menafikan spekulasi yang beliau akan meletak jawatan dan mengulangi pendiriannya untuk mempertahankannya.

"Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. (Mereka kata) saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.

"Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga tetapi amat kukuh...itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab," kata Abdullah.

barisan nasional muhyiddin Sementara itu naib presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menggesa dihentikan spekulasi bahawa Abdullah akan meletak jawatan-jawatan tersebut.

Muhyiddin berkata spekulasi tentang kedudukan nombor satu negara boleh mengganggu suasana pelaburan asing dan keadaan itu boleh merugikan orang ramai.

"Ya (hentikan spekulasi). Kalau lihat kepentingan negara memang kita hendak supaya tiada spekulasi. Lebih-lebih lagi yang menyentuh soal kedudukan kepimpinan tertinggi negara.

"Ketidaktentuan dalam suasana politik mana-mana negara disebabkan spekulasi seperti itu tidak akan membawa keuntungan malah kerugian kerana orang bimbang dan takut... Itu yang kita nak elakkan," beliau, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dipetik sebagai berkata.

ADS