Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi mengenai keputusannya untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Jawatan tersebut kosong selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan hari ini bahawa beliau akan melepaskan jawatan itu dalam pemilihan Umno Disember ini.

Hishammuddin memegang jawatan tersebut tanpa bertanding sejak pemilihan Umno tahun 2000 - selepas memangku jawatan itu sejak 1998, susulan krisis Umno selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 2004 beliau dipilih sekali lagi tanpa bertanding dan berjanji akan memegangnya selama satu penggal.

Pengumuman beliau hari ini dianggap sebagai mengotakan janjinya tersebut.

khir toyo Dihubungi sejurus selepas Hishammuddin membuat pengumuman, Dr Mohd Khir berkata beliau akan mengumumkan keputusan muktamadnya tidak lama lagi.

"Saya tengah mengumpulkan maklum balas dari pada rakan-rakan Pemuda bahagian, dan akan buat keputusan tidak lama lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Selain Dr Mohd Khir, keputusan Hishammuddin itu akan membuka ruang kepada naib ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin, untuk bertanding ketua Pemuda.

Selain mereka, ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir juga telah menyatakan hasratnya bertanding jawatan tersebut jika dikosongkan oleh Hishammuddin.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat dihubungi dan menurut seorang pembantunya, Mukhriz sedang menghadiri majlis di kawasan parlimennya.

ADS