Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Usaha MIC membebaskan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) buntu apabila Kementerian Dalam Negeri enggan berbuat demikian.

Rombongan parti itu yang diketuai presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Syed Hamid Albar selama sejam petang tadi di kementerian berkenaan di Putrajaya.

bm lima tahanan hindraf Bercakap kepada media, Samy Vellu berkata, Syed Hamid menjawab beliau tidak boleh mengambil tindakan membebaskan kelima-lima pemimpin Hindraf kecuali selepas menerima pandangan polis dan beberapa pihak lain.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan pihak-pihak lain yang dimaksudkan.

"Kita minta kerajaan membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan atas alasan keselamatan. Sekarang sudah empat bulan mereka ditahan, kita minta kerajaan menimbang semula," kata bekas Menteri Kerja Raya itu.

Samy Vellu ditemani setiausaha agung MIC S Subramaniam dan ahli jawatankuasa pusat parti itu S K Devamany.

Buat pertama kali hujung minggu lalu, MIC mendesak lima pemimpin Hindraf itu dibebaskan selepas seminar penjenamaan semula parti akibat kekalahan besar yang dialaminya pada pilihanraya umum 8 Mac.

Presidennya menyarankan dua daripada tahanan dibebaskan lebih awal atas alasan R. Kenghadaran mengalami sakit teruk dan M. Manoharan menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Bekas menteri itu juga berkata dua lagi ketua Hindraf wajar dibebaskan - V. Ganabatirau dan K. Vasantha Kumar - kerana "pembabitan mereka tidak begitu mendalam" dalam demonstrasi besar di Kuala Lumpur 25 Nov lepas.

P. Uthayakumar, seorang peguam dan aktivis sosial masyarakat India, dan empat lagi pemimpin Hindraf itu kini merengkuk di kem tahanan Kamunting di Taiping.

Selain itu, rombongan MIC itu meminta kerajaan mengekalkan kira-kira 500 sami dari India yang berkhidmat secara kontrak di kuil-kuil tempatan.

Isu itu berbangkit selepas kerajaan membuat keputusan untuk tidak melanjutkan lagi kontrak mereka.

MIC turut meminta Kementerian Dalam Negeri mendaftarkan semula dua buah kuil di Perak yang dibatalkan pendaftaran akibat perbalahan dalaman, kata Samy Vellu.

ADS