Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM tolak idea Lim guna wang minyak
Diterbitkan:  Apr 3, 2008 5:39 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menolak cadangan ketua menteri Lim Guan Eng supaya wang Petronas digunakan untuk membina jambatan kedua Pulau Pinang.

"Beliau berkata tidak boleh kerana ada beberapa subsidi dan komitmen lain yang mereka sedang rancang," kata Lim selepas pertemuan rasmi sulungnya dengan Abdullah selepas menjadi ketua menteri ekoran kemenangan barisan pembangkang pada 8 Mac lalu.

lim guan eng and abdullah ahmad badawi meeting 030408 03 "Sudah tentu saya rasa sebaliknya, iaitu ia (projek itu) masih perlukan (dana Petronas), walaupun tidak (dibiayai) sepenuhnya, tetapi sebahagiannya, kerana kos jambatan tersebut - menurut beliau - telah meningkat agak banyak," tambahnya.

Beliau berkata, perdana menteri berjanji untuk mengurangkan kosnya supaya tidak membebankan penggunanya nanti.

Lim sebelum ini pernah mencadangkan wang syarikat minyak negara itu digunakan untuk membina jambatan kedua yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar, dan tidak perlu meminjam dari luar negara.

Lim, seorang akauntan, berkata Petronas hanya perlu menyalurkan kira-kira 4.1 peratus, atau RM3.5 bilion, daripada perolehan tahunan minyaknya sebanyak RM85 bilion untuk membina jambatan tersebut.

Projek mega diteruskan

Menurutnya lagi, Abdullah hari ini sekali lagi memberikan jaminan bahawa semua projek mega di negeri itu yang telah diumumkan akan diteruskan, terutama pembinaan jambatan kedua yang dijadual siap pada Januari 2011.

Lim berkata, kerajaan negerinya akan bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut berjalan lancar.

"Beliau (Abdullah) juga berkata, beliau tidak berniat untuk berdiskriminasi (terhadap kerajaan negeri). Kita harap kementerian-kementerian yang telah membuat pengumuman tertentu, juga turut melaksanakannya (tanpa diskriminasi)," katanya, sambil berharap hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat.

lim guan eng and abdullah ahmad badawi meeting 030408 01 Menurut Lim, dalam pertemuan tersebut, beliau turut mengemukakan dua pucuk surat kepada perdana menteri, menggesa supaya kerajaan pusat meneruskan projek-projek pembangunan infrastruktur dan mengotakan janji peruntukan kepada Pulau Pinang.

Lim ditemani setiausaha politiknya Ng Wei Aik, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, dan setiausaha kerajaan negeri Datuk Jamaludin Hasan (foto dalam kereta, kiri) .

Lim mengadakan sidang akhbar di luar pintu utama bangunan kompleks kerajaan di Putrajaya selepas mesyuarat itu berakhir kira-kira jam 10.45 pagi.

Bincang mengenai DEB

Ditanya mengenai suasana pertemuan selama kira-kira 30 minit itu, Lim berkata: "Saya tak mahu cakap mesra tapi dalam keadaan baik".

Menurutnya mereka memberi pandangan masing-masing mengenai isu-isu yang mungkin menimbulkan salah faham kerana laporan media yang tidak tepat.

Lim tidak mendedahkan mengenai isu-isu tersebut, tetapi dipercayai ia berkaitan dengan ucapan sulungnya yang mahu mentadbir Pulau Pinang tanpa Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ekoran itu, ahli Umno Pulau Pinang telah mengadakan perhimpunan membantah kenyataan Lim dan mendesak beliau menariknya semula.

Lim mengaku, beliau bertukar-tukar pendapat dengan Abdullah mengenai perkara tersebut.

Katanya, mereka juga menyentuh tentang sistem tender terbuka dan beliau menjelaskan kepada perdana menteri bahawa kerajaan negeri hanya mematuhi garis panduan Perbendaharaan.

"Saya tidak tahu sama ada beliau menerima (pandangan saya) tetapi saya telah menjelaskannya kepada beliau," kata Lim.

ADS