Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ulasan sepenggal prestasi PM
Diterbitkan:  Apr 3, 2008 5:50 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Sebuah buku yang menilai perkembangan pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dilancarkan malam ini.

Pelancaran Lost in Transition: Malaysia under Abdullah karangan Ooi Kee Beng disempurnakan oleh tokoh utama DAP Lim Kit Siang di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur jam 7.30 malam.

lost in transition malaysia under abdullah Buku ini sebagai lanjutan analisis zamil di Institut Kajian Asia Tenggara, Singapura itu tentang politik Umno, Era of Transition: Malaysia under Mahathir yang diterbitkan pada 2006 - antara lain menyentuh cabaran yang menanti Abdullah.

Buku Lost in Transition memuatkan koleksi artikel pengarang yang diterbitkan di beberapa penerbitan, termasuk Malaysiakini , sejak dua tahun lalu - bermula ketegangan pertama antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya itu.

Menurut buku itu, perbalahan terbuka dua tokoh itu bermula 7 Julai 2006 membayangkan Abdullah telah melakukan anjakan penting daripada era Dr Mahathir walaupun kesinambungan dasar masih jelas wujud.

Walaupun dua tahun pertama Abdullah di puncak Putrajaya menyaksikan suasana kebebasan yang lebih demokratik berbanding era bekas ketuanya - tetapi, menurut Lost in Transition, perubahan positif bukan disandarkan pada dasar-dasar kukuh.

Bagaimanapun ruang kebebasan itu tidak disusuli perbahasan yang matang dan bijak, seperti tergambar di Dewan Rakyat dan media massa, sehingga ia tidak boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia, menurut bab 'Limits of Silence'.

abdullah ahmad badawi pak lah and merdeka day parade 280807 Sikap Abdullah yang suka mendiamkan diri dalam suasana lebih bebas itu, dengan kritikan Dr Mahathir, menghakis keyakinan rakyat pada pentadbirannya walau menerima mandat besar pada pilihanraya umum 2004.

Pembebasan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada hukuman lima tahun penjara menambahkan lagi tentangan kepada Umno.

Akibat pelbagai masalah yang muncul beberapa tahun lalu, sambutan 50 tahun kemerdekaan tidak dirayakan dengan meriah di peringkat rakyat umumnya - menurut buku itu lagi - sebaliknya rasa tidak berpuas hati dan suasana bermenung mencorakkan sambutan tersebut.

"Suasana monyok menguasai wacana Malaysia pada 2007. Dari 1 Januari hingga 31 Ogos (sepanjang sambutan kemerdekaan itu), rasa kecewa dan bermenung lebih menonjol daripada perayaan," buku itu dipetik.

Selepas pelancaran, satu sesi diskusi akan disertai pengarah Pusat Inisiatif Awam, Dr Lim Teck Ghee dan ketua pengarang Malaysiakini , Steven Gan.

ADS